ABIM Pusat

Published in ABIM Pusat

Usaha Adalah Syarat Tawakal: Muhasabah Kewajiban Muslim Mencegah COVID-19. Featured

Mar 20, 2020 Hit: 217 Written by 

covid syafiq tauhidi

 

Oleh: Ustaz Haji Mohammad Syafiq Ismail, Exco Dakwah dan Tarbiyah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Atas nama Yang Kasih, daku menulis. Selawat dan salam buat kekasih.
 
Sesungguhnya kita dinihari diuji dengan wabak COVID-19 yang telah merenggut ribuan nyawa. Yang menambahkan kerisauan lagi, penawarnya belum ditemukan, sedangkan virusnya mudah merebak dan pesakitnya tidak dikenalpasti melainkan dalam keadaan yang sudah terlambat.
 
Pelbagai langkah pencegahan – kuarantin, menyekat sempadan dan sebagainya- telah diperkenalkan di seluruh dunia. Begitu juga, kenyataan rasmi kerajaan-kerajaan, dan ulama-ulama besar sedunia, seakan-akan memiliki kata sepakat; menghalang penyebaran virus ini adalah kewajiban masyarakat sedunia.
 
Apatah lagi, bagi seorang Muslim, menghalang penyebaran virus membunuh ini adalah tuntutan agama, yang wajib dilaksanakan, dan haram diabaikan. Ia sesuai dengan tuntutan ‘Hifz anNafs’ (Penjagaan Nyawa), yang diwajibkan dalam Islam.
 
Termaktub juga di dalam Qawaid Fiqh Kubro, bahawa sebarang mudharat itu wajib dibasmi dan dihapuskan, sepertimana sabda Rasulullah ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam, “La dharar wa la dhirar.” (HR Ibn Majah & Malik) yang bermaksud, “Tidak boleh mudarat (pada diri sendiri) dan memudaratkan (orang lain).”
 
Namun, amat mengecewakan sekali, di mana terdapat sebahagian pendakwah dan ustaz-ustaz di tanah air kita yang tercinta ini, masih tidak dapat mencerap betapa bahayanya virus
ini dan betapa wajibnya ia dihalang dan dibendung daripada merebak.
 
Mereka mendakwa, “Tauhid adalah takut kepada Allah Subhanahu wa-ta’ala, bukan takut kepada virus.” Begitu juga, “Virus tidak memudaratkan melainkan dengan izin Allah Subhanahu wa-ta’ala.”
 
Begitu juga, “Ajal maut di tangan Allah Subhanahu wa-ta’ala bukan di tangan korona.” Yang sepintas lalu didengar seakan ada benarnya, tetapi mengandungi makna yang sangat merbahaya, “Dedahkanlah diri kepada virus yang belum ada penawarnya ini dan jangkitkanlah ia kepada orang lain!” Ini kejahilan yang jelas terhadap agama – yang amat memuliakan nyawa manusia!
 
Allah s.w.t berfirman di dalam al-Qur'an, Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan...” (al Baqarah, 195)
 
Tawakal bererti hati yang bulat pengharapannya kepada Allah Subhanahu wa-ta’ala, namun, sepertimana yang diiktiraf oleh para ulama, tawakal tidak menafikan kewajiban usaha.
 
 
Allah Subhanahu wa-ta’ala mengecam golongan Muslimin Mekah yang enggan berusaha dan berhijrah demi keselamatan nyawa mereka, dan menyifatkan mereka sebagai golongan yang menzalimi diri mereka sendiri, dan menjanjikan neraka buat mereka.
 
“Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: "Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?" Mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi". Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?" Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (An-Nisa’, 97)
 
Maka tidakkah sama mereka ini, dengan Muslimin yang sengaja mendedahkan diri dan menyebarkan virus yang membunuh ini kepada umat pula – atas alasan tawakal dan tauhid?
 
Marilah muhasabah, bagaimana Rasulullah ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam menyifatkan tawakal itu, disyaratkan dengan usaha. Dikisahkan seorang badwi pernah datang ke Masjid Nabawi untuk berjumpa dengan Rasulullah ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam, dan membiarkan unta tunggangannya terlepas tidak diikat.
 
Baginda ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam memerintahkan badwi itu untuk mengikat untanya, namun badwi itu menjawab, “Daku sudah bertawakal kepada Allah, wahai Nabi.” Baginda ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam bersabda menjelaskan, “Ikatlah ia, kemudian bertawakal-lah kepada Allah.” (HR atTirmizi).
 
Maka bagaimanakah pula dengan Muslimin yang menafikan usaha mencegah diri daripada virus ini? Bukankah dia sedang tidak mematuhi ajaran Rasulullah ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam, untuk berusaha dan bertawakal? Sekiranya dengan urusan unta pun diperintahkan untuk berusaha, maka bagaimana pula dengan urusan nyawa Muslimin?
 
Sabda baginda ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam yang lain, “Larilah daripada pesakit kusta, sepertimana kamu lari daripada singa.” (HR alBukhari). Yakni, demi keselamatan nyawa dan kesihatan.
 
Mereka yang mendakwa orang yang mengambil asbab berjaga-jaga daripada Covid19 ini sebagai lemah imannya, maka kita ajukan soalan kepada mereka: Adakah seseorang muslim itu lemah imannya bila mematuhi arahan Rasulullah ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam untuk lari daripada pesakit kusta?
 
Naudzubillah min dzalik! Bagaimana pula dengan sebahagian pendakwah dinihari, yang mengajar –secara tidak langsung - untuk tidak berjaga-jaga daripada wabak yang belum ditemukan penawarnya ini?
 
Marilah kita bermuhasabah, bagaimana Saidina Umar radiAllāhu anhu, sahabat terdekat Rasulullah ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam, orang yang telah dijamin masuk Syurga, khalifah kedua selepas Saidina Abu Bakar radiAllāhu anhu, bermuamalah dan berinteraksi dengan wabak.
 
Dikisahkan, Saidina Abu Ubaidah bersama tenteranya ingin masuk ke tanah Syam, dalam keadaan ia sedang dilanda wabak. Saidina Umar menghalang. Saidina Abu Ubaidah bertanya, “Adakah kita lari daripada takdir Allah?” Saidina Umar menjawab, “(Alangkah baik), kalau orang selainmu yang mengatakannya.” – kerana Saidina Umar tidak suka berselisih pendapat dengannya, dan sambungnya, “Betul, kita lari daripada takdir Allah (wabak), kepada takdir Allah (keselamatan daripada wabak).” (HR alBukhari & Muslim)
 
Sudah tentulah iman Saidina Umar dan tauhidnya lebih sempurna daripada kita, dan beliau tetap memerintahkan berjaga-jaga daripada wabak. Inilah kesempurnaan tawakal; di mana usaha mengelak penyakit diikat dengan tawakal penuh kepada Allah Subhanahu wa-ta’ala.
 
Di saat di mana kepanikan melanda satu dunia, dan terdetik di hati setiap Muslim, “Bilakah bantuan Allah Subhanahu wa-ta’ala bakal tiba?”, maka tugas menenangkan umat, terletak pada tangan para pendakwah dan ustaz-ustaz sekalian.
 
Umat yang diwakilkan Rasulullah ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam kepada kita untuk menjaganya. Niat baik bertawakal, tidak seharusnya dicemari dengan kejahilan terhadap kewajiban berusaha mencegah.
 
Menggesa juga pihak berwajib, untuk memantau ajaran dan dakyah yang merbahaya ini, dan mengenakan tindakan sewajarnya kepada pengucapnya, yang telah menggadaikan keselamatan umat Islam, atas salahfahamnya akan konsep tawakal dan takdir Allah Subhanahu wa-ta’ala. Wassalam.
Last modified on Friday, 20 March 2020 04:47
Read 217 times
Rate this item
(0 votes)

Berita ABIM

ABIM Agih Kelengkapan
  26hb Mac 2020: Alhamdulillah, para petugas Sekretariat ABIM Pusat (SAP) dan Global ...
COVID-19: ABIM Seru Umat
SERUAN MENJAGA KESELAMATAN DAN KESIHATAN Assalamu'alaikum warahmatullah wabarakātuh. Di saat ...
Manusia, Kekayaan dan
Oleh:-  Fatin Nur Majdina Nordin, Naib Presiden (Agenda Pembangunan Wanita, Keluarga, ...
Jadilah Wanita Istimewa
   Oleh: Fatin Nur Majdina Nordin, Naib Presiden (Agenda Pembangunan Wanita, Keluarga, ...

ABIM Negeri

"Walaupun Susah Makcik
Covid 19: Kempen Seorang
ABIM Agih Kelengkapan
  26hb Mac 2020: Alhamdulillah, para petugas Sekretariat ABIM Pusat (SAP) dan Global ...
COVID-19: ABIM Seru Umat
SERUAN MENJAGA KESELAMATAN DAN KESIHATAN Assalamu'alaikum warahmatullah wabarakātuh. Di saat ...
Manusia, Kekayaan dan
Oleh:-  Fatin Nur Majdina Nordin, Naib Presiden (Agenda Pembangunan Wanita, Keluarga, ...
Jadilah Wanita Istimewa
   Oleh: Fatin Nur Majdina Nordin, Naib Presiden (Agenda Pembangunan Wanita, Keluarga, ...