×

Warning

JUser: :_load: Unable to load user with ID: 291

Muktamar WADAH Pulau Pinang, selesai berlangsung Featured

Jul 16, 2014 Hit: 2315 Written by 
Muktamar WADAH Pulau Pinang, selesai berlangsung

Ramadan membawa kita keluar daripada kebiasaan kepada rehlah bermakna - meninggalkan materialisme yang berserabut dan dunia yang fana.  Kita beruzlah - mengasingkan diri tetapi secara ma'nawiy - ‘uzlah ma'nawiyyah tanpa meninggalkan kehidupan ini atau lari daripada dunia serta tanggungjawab semasa.  Kehidupan harian berjalan tetapi keenakan dan keinginan nafsu itu dikawal dan diurus secara sedar dan sengaja. Tempat selera nafsu syahwat digantikan oleh kelazatan iman - lazzah al-iman. Dengan itu disiplin diri menjadi normal dan dianggap sebati - suatu kebiasaan. Ada semacam pusuan arus - surge, pemugaran semula keikhlasan, kesabaran, kasih sayang, belas kasihan dan keazaman. Puasa dan Ramadan membentuk malakah - bakat atau tabiat hati - habits of the heart  -  qualities of the soul - ṣifāt al nafs.

Itulah tanda-tanda kemunculan syakhsiyah Islamiyyah haqiqiyyah - keperibadian Muslim yang hakiki - paling berharga bagi anggota gerakan Islam.

Menangani Kecelaruan Semasa

Jika seseorang berpuasa tetapi masih berbohong dan melakukan kejahatan, maka Allah swt tidak berkehendakkan puasa orang itu - mafhum hadith Rasulullah s.a.w.

Begitulah jika seseorang meneruskan Ramadan dengan tiada pencerahan spiritual dan tiada pencerdasan ma'nawiy yang berlaku pada dirinya - maka tiada penambahan bekalan iman dan taqwa kecuali hanya lapar dan dahaga sahaja - mafhum hadith.

Betapa rendahnya budi pekerti dan akhlak jika semata-mata kerana mengejar dunia, ingin pangkat , kaut harta, amal budaya carma dan gelagat suka sampul -  sehingga menggadai prinsip, hilang idealisme perjuangan, berlaku khianat, sanggup menipu - tipu kering dan bersumpah palsu.

Zaman kini merupakan era meta myth - pembohongan besar-besaran dan zaman mega death - pembunuhan dahsyat dan kejam berleluasa. Ini cabaran lingkungan zaman kita. Sekarang masa fitnah dan penipuan besar-besaran dengan menanamkan bibit syak dan keraguan kepada imej umat Islam, kewibawaan ulama dan juga kredibiliti ikon serta tokoh-tokoh pengasas - pelopor gerakan serta kebangkitan Islam.

Nampaknya, musuh Islam berjaya melalui propaganda terang-terangan, komplot jahat dan pergerakan halus untuk menyisihkan Islam dan gerakan Islam daripada arus perdana serta supaya kita sentiasa mencurigai dan dicurigai - menyamakan sebarang syi'ar, nilai, budaya, usaha, pembaharuan dan perancangan Islam kepada ekstremisme dan terorisme. Ada juga usaha untuk merendah-rendahkan akhlak pemimpin serta pejuang-pejuang Islam. Muncul pula kumpulan-kumpulan fanatik berwajah macam Islamis yang mendakwa menjuarai perjuangan Islam tetapi lebih banyak mencetuskan kekeliruan dan huru hara, gemar cabar mencabar tanpa menuruti akhlak dan adab Islam.

Sahsiah-sahsiah Islamiyyah sejati perlu tampil bagi menangani gejala fasad dan kemungkaran. Kita tekuni mafhum hadith melarang mungkar menurut kemampuan dan daya dengan tangan - kuasa (bi yadihi), dengan lisan – bersuara (bi lisanihi), dengan hati (bi qalbihi)-  tidak ridhai dan tidak rela serta tidak akan tunjuk sebarang sokongan atau simpati. Tetapi menurut Dr Siddiq Fadil kita tidak patut sanggup untuk tidak ambil peduli serta berdiam diri.

 

Pencerdasan dan Kefahaman

Menurut Sheikh Taha Jabir Alwani, penyakit yang paling parah bagi umat ini adalah perbedaan dan  perpecahan. Banyak sungguh pihak yang bercanggah dan saling berantakan sehinggakan memberi gambaran seolah-olah ajaran Islam, perintah dan larangannya untuk umat hanyalah bagi menggalakkan perpecahan dan supaya hanyut di bawa arus persengketaan sepanjang masa.

Sheikh Alwani menyeru supaya kita mengembalikan semula dimensi iman ke dalam dada umat Islam. Iman yang mengawal perhubungan sesama Muslim yang semakin terhakis. Pemugaran semula iman dan kefahaman mantap serta penguasaan mendalam ilmu pengetahuan Islam sahaja yang menjamin pemupukan semula silaturrahim, meleraikan perbedaan dan menjauhkan rasa benci di hati-hati kita.

Dengan bekalan ini kita akan berada di kedudukan lebih  utama iaitu posisi berjihad di jalan suci bukan berbalah sesama sendiri.  Untuk itu, norma tatatertib, tingkahlaku Islam, tasamuh, adab dan adab al ikhtilaf menjadi konsep dan pegangan penyelesaian. Namun, jiwa kerdil dan kedangkalan tidak akan menghargai atau menghayati pedoman ini, membawa ke lembah kewujudan yang sempit lagi berprasangka serta hidup yang penuh kegagalan.

Sering dikatakan bahawa perbedaan pandangan adalah kerangka sihat yang boleh memperkayakan minda Muslim dan merangsang perkembangan intelektual. Kepelbagaian perspektif dapat dilihat, isu dan permasalahan diperbahaskan dengan lebih mendalam, lebih tepat dan menyeluruh. Namun sedih sekali dengan tersurutnya ummah, wacana sihat tidak lagi berlaku. Kita perlu sanggah cemuhan bahawa kita menghadapi sindrom - The inability to engage in intellectual discourse and resolving differences of opinion through vibrant dialogue and healthy debate  without resorting to criminalising one another and excommunicating others.

Ledakan maklumat  dalam bentuk yang serba berpautan, pantas dan percantuman media melahirkan ahli-ahli agamawan papan kunci yang berselerak. Padahal, persepsi dan pandangan harus holistik dan berimbang, menembusi setiap dimensi bukan aspek-aspek remeh untuk dijadikan bahan menghukum, mengutuk dan menolak pihak lain. Ikhtilaf dan hawaa - ego,  cenderung untuk menguasai jiwa, pemikiran, sikap dan perasaan sehinggakan melupakan prinsip-prinsip asas Islam dan tasawur. Apabila hilang keseimbangan, pertimbangan mahupun keutamaan, hukuman dilontarkan dengan mudah menghampiri amalan takfiriyun - kefanatikan dan kegopohan  untuk mengeluarkan orang daripada agama.

Oleh itu, kita perlu menjauhi amalan mudah memberi penglabelan semata-mata kerana perbedaan pendapat  atau aliran. Terutama sekali pertubuhan Islam dan pergerakan da'wah perlu ada tasamuhtawadu' dan rasa hormat kepada ulama, tokoh-tokoh kepimpinan gerakan dan mereka yang terbukti telah menyerahkan diri jiwa raga mereka kepada jalan islah dan kebangkitan ummah. Pertubuhan Islam tidak harus terikat atau terjerat dengan ragam agenda politik partisan yang singkat, mengambil jalan pintas untuk meraih sokongan, menginginkan dokongan atau mengidamkan dana tajaan. Contohnya, tuduhan dan kecaman seperti liberal, plural, menyeleweng adalah merbahaya kerana perbuatan ini ada tendensi menghampiri kegemaran takfiriyun. Apabila seorang tokoh kepimpinan pergerakan Islam menyatakan pegangan rujukannya Al Qur'an dan Al Sunnah, memelihara arkan al-Islam dan arkan al-Iman serta menegaskan perjuangannya adalah mengislah sedaya upayanya, cukuplah itu dan jauhilah perbuatan melabelkannya selainnya.

Sheikh Alwani mengingatkan  supaya kita hindari pihak yang memiliki kejahilan yang agresif, kefanatikan golongan yang degil, komplot-komplot musuh yang berkonspirasi serta orang suruhan pihak berkepentingan. Memang sukar dan hampir mustahil untuk melawan dan menyanggah kesemuanya tetapi yang penting adalah memastikan umat Islam terutama pemuda-pemudinya diberikan harapan, dibekalkan keampuhan ilmu, kefahaman dan persepsi jelas akhlak, etika dan adab menangani perbedaan dan melestarikan jihad serta idealisme perjuangan. Rasulullah s.a.w. pernah memberitakan khabar gembira kepada para sahabat bahawa ada seorang di kalangan mereka yang dipilih terbaik dan dijanjikan syurga. Rasulullah s.a.w. menceritakan bahawa kejayaan sahabat itu adalah kerana pada setiap malam sahabat berkenaan tidak akan tidur sehingga tiada lagi perasaan dendam atau marah terhadap seorang Muslim yang lain.

 

Menggarap Kerangka Besar Idealisme Perjuangan

ita saksikan pada tingkahlaku para pemimpin masyarakat yang menjanjikan idealisme tetapi masih bergelut dengan pertembungan- juxtaposition di antara kepentingan perjuangan nasib rakyat dengan kepentingan-kepentingan kecil di antara tokoh-tokoh dan individu-individu serta penyokong-penyokong tegar. Perbandingan dengan regim lama yang mewakili sistem yang bobrok dan rosak tidak cukup. Idealisme yang didokong jelas terpampang harus sampai kepada islah mastata’tu– menjana perubahan sedaya upaya sebaik mungkin – perubahan yang real dan nyata. Para pimpinan pelbagai peringkat institusi dan agensi agama perlu mengenepikan persoalan politik dan pergelutan biasa mencari pengaruh dan kuasa atau sekadar bersandar mengisi jawatan tinggi dengan kedudukan yang empuk dan selesa tanpa memberi kesan kepada kebangunan umat. Kita perlu memperingatkan semua supaya  mempunyai hemah serta mempamerkan persefahaman dan thiqah sesama sendiri, sentiasa memberikan harapan kepada ummah dan akrab bersahabat membangunkan umat bersama-sama dengan jamaah dakwah seperti WADAH.

 

Rahmat kepada Seluruh Alam

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah pertunjuk. (Surah al Nahl: 125)

Islam itu tinggi dan tiada yang melebihi kemuliaannya. Oleh itu, agama ini dan penganutnya patut sentiasa berada pada kedudukan moral yang tinggi – taking the high moral ground. Seruan dakwah dengan penuh hikmah, dengan contoh teladan terbaik serta hujah yang bernas tidak mengizinkan sikap rasis, atau merelakan trend Christian baiting atau Chinese bashing. Tindakan ekstrim begini hanya menakutkan dan menjauhkan orang daripada risalah rahmatan lil alamin yang dibawa oleh kita selaku umat Islam.

Pada sebuah rencana yang menarik, seorang penulis Kristian bernama Emmanuel memberikan komentar, “Ribuan orang Christian saban tahun memeluk Islam tetapi umat Islam pula yang nampak menggelabah merasakan mereka terancam.” Katanya lagi, “Padahal sepatutnya kamilah yang sepatutnya merasakan kerisauan demikian.”

ada zahirnya, ramai Non Muslim berasa kurang selesa dengan kehadiran agama di persada awam. Di kalangan mereka merasa kurang senang dengan hubungan di antara agama dan politik. They are often uncomfortable with the presence of religion, certainly in the public sphere  and are quite  ambivalent about the relationship of religion to politics.

Ini dapat dilihat pada penentangan luas terhadap cadangan perlaksanaan hukum jenayah Islam atau cadangan bagi meneguhkan shariah Islam di dalam pemerintahan. Pendekatan garis keras sudah tentu akan menebalkan prasangka dan mempengaruhi tanggapan mereka.

Pendakwah dan aktivis juga perlu mendalami ilmu dan kemahiran serta menghayati seruan da'wah bil hal, da'wah bil hikmah, mauizah hasanah - kebijaksanaan, teladan terbaik dan hujah yang bernas. Kita perlu sedar dan peka terhadap tahap kecurigaan dan Islamophobia yang tinggi masakini, dan sebarang tindakan berunsur garis keras akan melebarkan jurang serta menjauhkan titik persefahaman.

Kita perlu mengelak pendekatan naif seperti mengambil tajuk atau penganjuran program contohnya, "Bagaimana Berinteraksi dengan Non-Muslim" - kerana konotasinya menggambarkan seolah-olah orang Non Muslim merupakan makhluk asing.

Kita tentu sedar tetapi bagaimana untuk menangani kesenjangan dan jurang di antara seorang profesional yang memiliki kondo mewah di lokasi eksklusif di Pulau Pinang yang mengeluh menganggap tarafnya sebagai warganegara kelas dua, manakala seorang lagi penganggur di kampung yang tidak memiliki apa-apa tetapi menganggap dirinya mempunyai ketuanan bangsa.

 Ekonomi

Di antara pelbagai perkara yang menghimpit umat dan rakyat adalah kos pemilikan rumah di negeri ini. Jika pimpinan yang berkuasa dan diberi amanah tidak menangani pembinaan rumah mampu milik dengan serious maka penempatan golongan berpendapatan rendah yang kebanyakannya umat Islam akan terjejas dan mereka tidak akan merasakan kualiti kesejahteraan hidup di negeri ini seperti dinikmati oleh warga lain.

Suatu aspek lagi adalah gaji yang rendah diberikan khususnya kepada graduan-graduan walaupun bakat mereka dikehendaki dan mereka berkhidmat di industri-industri rancak di negeri ini. Gaji yang rendah (serta penyediaan kemudahan yang sangat terhad) tidak membantu kepada pertumbuhan ekonomi dan menekan hidup orang muda yang berbakat. Model ekonomi berasaskan gaji rendah perlu berubah dan Pulau Pinang mesti ke hadapan memimpin perubahan ini.

Akitiviti

Islamic Outreach ABIM yang beroperasi di Lebuh Acheh kini sedang dipugar semula dengan penglibatan sahabat senior bersama anggota-anggota pelapis muda. Kejutan pihak berkuasa agama menuntut sewa telah membuahkan hikmah tersendiri supaya kita bertindak lebih aktif membela satu sudut kerdil dakwah kepada Non Muslim. Ia juga menunjukkan bahawa pergantungan kerja dakwah agama ini bukan kepada autoriti, institusi atau agensi agama tetapi kepada sejauh mana keberkatan serta bantuan Allah swt kepada usaha ini  melalui cara yang kita tidak dugakan. Marilah kita bersama menyumbang setulusnya bagi memastikan kelangsungan IOA.

Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

(Surah Muhammad:7)

 

Rohingya Educational Centre REC adalah institusi pendidikan sebagai sumbangan secara langsung memastikan generasi muda pelarian Rohingya agar berpeluang terdidik dengan mendapat kepercayaan UNCHR serta rakan NGO FGN. Baru-baru in sebuah pertubuhan Kanada mengumumkan akan mendirikan sebuah sekolah antarabangsa untuk pelarian juga dengan kerjasama UNHCR,  menggunakan kurikulum Kanada. Ini bakal meninggikan tanda aras pendidikan pelarian. Institusi-Institusi Pendidikan di bawah Yayasan Takmir iaitu SERI dan SEMI ad Diniah serta Madrasah Uthmaniah ABIM terus berkembang dengan baik. Marilah kita doakan kejayaan sekolah-sekolah kita khususnya supaya Madrasah Uthmaniyah ABIM terpilih sebagai model sekolah antarabangsa Islam kelak.

Usrah telah melalui perkembangan positif dengan adanya usrah peringkat Pulau dan usrah peringkat Seberang di samping usrah gabungan WAP bulanan. Adalah disarankan para isteri dan aktivis SALWA dan HELWA dijemput bersama ke usrah-usrah ini supaya pergerakan WADAH mendapat dokongan penuh keluarga dan masyarakat. Idea usrah umum perlu dihidupkan semula sepertimana pernah wujud dengan berkesan di Masjid Sg Gelugor pada zaman 80’an supaya aktiviti ini lebih inklusif dan bersama memanfaatkan masyarakat.

Idea penubuhan Institut  Pencerdasan Umat  sebagai kumpulan pemikir perlu digarap dengan serious semula.

Semua aktiviti ini sangat memerlukan dana. Oleh itu, semua ahli disarankan bersegera mengamalkan sadaqah dan infaq fi sabilillah serta diingatkan tentang simpanan tabung harian WADAH masing-masing yang terbukti praktikal dan berkesan bagi mengumpul sumbangan tetap kepada WADAH setiap bulan.

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang bertaqwa.

(Surah ali Imran 133)

Dari Ibnu Abbas, berkata: “Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril biasanya menemuinya setiap malam Ramadan, lalu tadarus al-Quran (dengan Nabi SAW). Sungguh Rasulullah ketika ditemui Jibril menjadi orang yang lebih bermurah hati dalam memberikan kebaikan, sehingga lebih banyak daripada tiupan angin yang berhembus.’ (Hadis Bukhari dan Muslim)

 

Dr Wan Salim Mohd Noor:

Pencerdasan Umat Rahmatan lil 'Alamin Ucapan Dasar Muktamar ke 7 WADAH Pencerdasan Umat Pulau Pinang

12 Julai 2014 di Markaz ABIM Sg Gelugor. Ramadan al Mubarak

Last modified on Wednesday, 16 July 2014 14:12
Read 2315 times
Rate this item
(0 votes)

Berita ABIM

ABIM Adalah Gerakan Aksi
  16 September, Sentul:- Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal ...
ABIM Sabah Kemukakan
  18 September 2020, Kota Kinabalu:- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah ...
ABIM Gerakkan Tabung
3 hb September 2020 (Khamis): Alhamdulillah, telah diadakan sesi sidang media khas anjuran ABIM dan ...
Malaysia Untuk Generasi
  Tanggal 31 Ogos 2020 amat signifikan buat rakyat dalam meraikan hari kebangsaan tanah air. ...
Tahniah Tan Sri Dato'
  Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengucapkan tahniah kepada Ketua Pengarah Kesihatan, ...
Lima Dekad Penubuhan
  Lima Dekad Penubuhan ABIM Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memasuki dekad yang ...
ABIM Edar Pelitup Muka
      Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) amat perihatin dengan penguatkuasaan ...
Pulau Pinang adalah
  Pulau Pinang adalah pintu gerbang ketamadunan Islam di Tanah Melayu! Itu adalah kesimpulan ...

ABIM Negeri

ABIM Adalah Gerakan Aksi
  16 September, Sentul:- Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal ...
ABIM Sabah Kemukakan
  18 September 2020, Kota Kinabalu:- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah ...
ABIM Gerakkan Tabung
3 hb September 2020 (Khamis): Alhamdulillah, telah diadakan sesi sidang media khas anjuran ABIM dan ...
Malaysia Untuk Generasi
  Tanggal 31 Ogos 2020 amat signifikan buat rakyat dalam meraikan hari kebangsaan tanah air. ...
Tahniah Tan Sri Dato'
  Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengucapkan tahniah kepada Ketua Pengarah Kesihatan, ...
Lima Dekad Penubuhan
  Lima Dekad Penubuhan ABIM Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memasuki dekad yang ...
ABIM Edar Pelitup Muka
      Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) amat perihatin dengan penguatkuasaan ...
Pulau Pinang adalah
  Pulau Pinang adalah pintu gerbang ketamadunan Islam di Tanah Melayu! Itu adalah kesimpulan ...
DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd