Minda Presiden

Published in Minda Presiden

Pembinaan Bangsa Malaysia: Memahami Realiti Kepelbagaian, Mencorakkan Khittah Masa Depan

Sep 21, 2014 Hit: 2024 Written by 
Pembinaan Bangsa Malaysia: Memahami Realiti Kepelbagaian, Mencorakkan Khittah Masa Depan

Sejarah negara menunjukkan nenek moyang kita telah pun menerima konsep negara Malaysia dengan kepelbagaian kaum. Sejarah di ambang Merdeka, telah tercatit fakta bahawa pemimpin kita terdahulu dengan tangan terbuka menerima konsep “Jus Soli” apabila menerima sesiapa sahaja yang lahir di Tanah Melayu sebagai warganegara Malaysia tanpa mengambil kira negara mana keturunannya dilahirkan. Berlandaskan sandaran sejarah jelas sekali kewujudan pluraliti kaum, latar dan agama adalah dilihat oleh pemimpin terdahulu sebagai aset kekuatan demi penggembelingan kelebihan antara satu sama lain dan jauh sekali ia ditanggapi sebagai sumber konflik ditambah dengan sentimen dan provokasi.

SEMANGAT KEBANGSAAN

Sememangnya apabila kita memerhatikan di sekitar, sudah tentu akan kita dapati bahawa wujud pelbagai ras dan kecenderungan dengan kerencaman citarasa. Disinilah Bapak M. Natsir mengusulkan agar semangat kebangsaan diertikan sebagai penyatuan terhadap aspirasi, hasrat dan tujuan yang menggerakkan kita ke arah yang serupa. Bukannya perjuangan yang menonjolkan ‘supremacy’ kaum sehingga menimbulkan keresahan kaum yang lain. Maka persoalannya di sini, apakah semangat kebangsaan Malaysia? Apakah matlamat yang boleh dikongsi oleh semua warganegara yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan?

Matlamat tersebut mestilah berupaya untuk menyatukan seluruh warga Malaysia, mengerah usaha sedaya mungkin bagi mencapai hasrat tersebut. Maka persoalannya di sini, apakah semangat kebangsaan Malaysia? Apakah matlamat yang boleh dikongsi oleh semua warganegara yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan? Matlamat tersebut mestilah berupaya untuk menyatukan seluruh warga Malaysia, mengerah usaha sedaya mungkin bagi mencapai hasrat tersebut. Takrifan nasionalisme atau semangat kebangsaan yang didokong oleh pendokong primodialis pada peringkat awal semakin tidak relevan. Tambahan pula dengan fenomena perkampungan sejagat (global village) lewat era teknologi maklumat dan komunikasi, perhubungan rentas etnik semakin menjadi mudah. Jika ditinjau dari sudut sosialisasi, manusia secara global sedang melalui fasa-fasa integrasi kaum mengikut temponya yang tersendiri.

 

KESEDERHANAAN ISLAM

Ketaksuban terhadap satu-satu pendapat merupakan salah satu daripada manifestasi gejala ekstremisme. Ketaksuban sehingga gagal meraikan kepelbagaian pandangan kelak akan menjurus kepada kebekuan pemikiran dan kejumudan tindakan. Kecenderungan untuk mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan syariat juga merupakan gejala ekstremisme. Apatah lagi ia disertai oleh perilaku yang keras dan kasar bagi memastikan seruannya diikuti. Setiap perkara yang ‘diwajibkan’ itu menjurus kepada satu tema iaitu yang lebih sukar dan lebih susah itulah yang lebih afdhal (utama).

Aksi-aksi provokasi melampau dari kedua-dua pihak samada Muslim atau pun tidak mempamerkan perilaku yang memualkan. Ungkapan menghalau dan menghina yang semakin popular sejak akhir-akhir ini meningkatkan lagi keresahan dalam kalangan masyarakat. Adakah pintu untuk berdialog telah tertutup? Ruang untuk berdakwah telah dinafikan? Dan pintu interaksi telah dikunci? Sehingga mengizinkan untuk kita meluahkan kata-kata nista yang merendahkan martabat akhlak kita sendiri. Kesegaran husn ud-dzan (bersangka baik) dimamah gejala ekstrem dengan rakusnya. Ia merebak dengan pantas apabila kita mula memandang kelompok lain dengan pandangan hitam lalu menyembunyikan kebaikan-kebaikan mereka dan diperbesarkan kesalahannya. Sekecil-kecil kesalahan akan dikutuk habis-habisan tanpa perasaan kasih sayang atau memberi ruang terhadap pembetulan.

Perilaku ini juga diiringi dengan menafikan sebarang bentuk penjelasan dari kelompok yang tidak bersama mereka dan kelompok tersebut akan dilabel dengan pelbagai tuduhan yang bukan-bukan. ABIM selaku gerakan dakwah yang mempunyai pengaruh yang tersendiri perlu mempertahankan posisi dai’e dengan sepenuh hati. Sikap ekstrem yang kelihatan dalam nyalaan semangat perkauman yang sempit, pendekatan yang berlebihan dalam beragama (al-ghuluw) dan ketaksuban terhadap pemimpin dan kelompok perlu dijauhi oleh penggerak-penggerak dakwah.

POLITIK ADILUHUNG

Dr. Muhammad Imarah merumuskan politik Islam mestilah mampu menjamin kesejahteraan mnusia di dunia dan di akhirat serta terlaksana diatas landasan maqasid syariah. Fungsi ini terangkum dalam takrifan yang beliau senaraikan iaitu:

  1. Mengupayakan manusia dengan memandu mereka ke arah jalan yang selamat dalam jangka waktu yang dekat atau panjang, dan menguruskan kehidupan bersama orang awam mengikut peraturan yang adil dan istiqamah.  
  2. Apa-apa sahaja perbuatan yang menjadikan manusia lebih hampir kepada kebaikan dan lebih jauh daripada kerosakan.  
  3. Siasah agama yang memberi manfaat dalam kehidupan dunia dan akhirat. Ia juga bermakna pengurusan ke atas mesyarakat manusia berasaskan manhaj agama.

POLITIK ADILUHUNG

Kita semakin gerun apabila permainan politik edan ini menerobos sempadan keagamaan. Kepalsuan dipakaikan dengan pakaian agama, kebobrokan juga bertopengkan agama, kebencian dan fitnah turut sama bercitrakan agama. Maka nanti umat akan terdidik bahawa dalam kehidupan bahawa yang terpenting adalah bijak menggendalikan hujah agar kita sentiasa kelihatan berada pada landasan yang betul walau hidup berselimutkan maksiat. NASIONALISME & PATRIOTISME Justeru pembinaan bangsa Malaysia seharusnya digagaskan kepada sentimen patriotisme; yakni kecintaan terhadap tanah air tercinta. Istilah tanah air merupakan manifestasi mendalamnya perasaan cinta seseorang itu terhadanegaranya (membabitkan elemen tanah dan lautan). Bukan sahaja kesetiaan ke atas negara ini yang perlu ditagih, Bangsa Malaysia seharusnya dididik untuk menyintai tanah air dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap negara ini. Inilah asas-asas pembinaan bangsa Malaysia yang berteraskan semangat patriotisme yang tinggi yang dipandu oleh kesatuan adicita. Menerima kemajmukan kaum sebagai latarnya, diuruskan dengan penuh tanggungjawab merentasi kepentingan sempit kelompok di bawah kepimpinan politik adiluhung yang berasaskan keadilan den kesederhanaan.

Ringkasan Ucapan Dasar Muktamar ABIM Kali Ke-43, "Pembinaan Bangsa Malaysia: Memahami Realiti Kepelbagaian, Mencorak Khittah Masa Depan" (Sila klik untuk membaca teks penuh ucapan dasar), Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Negeri Sabah, Kota Kinabalu, Sabah Negeri Di Bawah Bayu.

Last modified on Monday, 22 September 2014 06:31
Read 2024 times
Rate this item
(0 votes)
Our website is protected by DMC Firewall!