Minda Presiden

Published in Minda Presiden

Gelojak Remaja Dan Kesucian Jihad Featured

Sep 29, 2014 Hit: 1751 Written by 
Gelojak Remaja Dan Kesucian Jihad

Menurut Erikson(1951,1963) remaja sering mengalami konflik sosial dalam dirinya. Para remaja mula bertanya,”Siapakah saya?”, “Apakah tujuan hidupku ini?”, “Ke manakah arah hidupku ini?”,(Mahmood Nazar Mohamed,2010) dan pelbagai soalan lagi seumpamanya. Remaja akan terus berfikir mencari jawapan kepada pertanyaan tersebut. Remaja juga berupaya menyesuaikan dirinya dengan pelbagai situasi yang dialami.

Sebagai contoh, mereka berperangai seperti yangdimahukan oleh ibubapa, ketika berada di rumah,berperangai seperti yang dimahukan oleh para guru ketika di sekolah dan berperangai seperti yang dimahukan oleh rakan-rakan sebaya ketika bergaul bersama. Ini tidak bermakna mereka berpura-pura. Mereka juga tidak berniat untuk menipu atau berlakon.

Ketika melalui usia remaja pembentukan sikap dan perwatakan masih belum benar-benar kukuh.Tanpa bimbingan yang betul, para remaja akan cuba membuat definisi sendiri mengenai kehidupan, berdasarkan pemerhatian dan pengetahuan yang mereka perolehi dari sumber-sumber yang terhad. Dikhuatiri mereka akan terjebak dalam definisi yang tidak sewajarnya, berdasarkan kedangkalan pengalaman dan kecetekan pengetahuan.

Dari pengalaman dan pengetahuan yang serba kekurangan itu, mereka membentuk persepsi bagi menjawab segala persoalan asas mengenai fungsi, tujuan dan peranan yang perlu dimainkan dalam kehidupan ini.

Begitu jugalah dengan jihad. Satu konsep yang berupaya menyelongkar pemikiran para remaja dan mempengaruhi pembentukan sikapnya. “Aku mahu mati seperti Saidina Hamzah”, “Aku mahu jadi gagah seperti ahli Badar” dan “Aku mahu mati syahid kerana ia adalah sebaik-baik kematian”. Inilah persepsi yang terbentuk dalam pemikiran remaja berkaitan jihad dan tujuan kehidupan. Perlu diakui pernyataan-pernyataan ini ada asas dan ada kebenarannya.

Ibu bapa perlu cekap membaca pergolakan jiwa dan pemikiran anak-anak remaja mereka. Jangan berasa terancam jika mendapati persepsi berkaitan jihad pada pemikiran anak mereka tidak betul lalu bersikap menafikan atau memperlecehkan atau memperbodohkan. Ia tidak akan membantu membina persepsi yang betul berkaitan subjek jihad ini.

Hujjat ul-Islam, Imam al-Ghazali, menyatakan kita perlu menerangkan sebab musabab ketika umur anak menjengah 7 tahun kerana ketika ini mereka memerlukan alasan bagi setiap pemerhatian dan persoalan dalam pemikiran mereka. Begitu juga pandangan pakar pendidikan Barat seperti Piaget (1958) menyatakan pada tahap remaja ini (11 tahun ke atas), manusia memasuki tahap operasi formal.

Para remaja berupaya berfikir secara lojik serta memahami konsep-konsep yang abstrak. Oleh yang demikian, penjelasan yang betul perlu diberikan kepada para remaja dalam memahami persoalan-persoalan berkaitan dengan jihad ini. Fahamkan mereka tentang tuntutan jihad, konsep jihad dan kaedah berjihad seperti yang dikehendaki Islam.

Jangan diherdik atau dinafikan hak mereka mendapat penjelasan dari kita,terutamanya dari ibu bapa mereka sendiri. Sekiranya tidak mampu maka eloklah dirujuk kepada mereka yang mampu menerangkannya secara berkesan dan bermakna. Ia dapat membantu mencerahkan segala kekusutan yang bermain dalam pemikiran mereka.

Jihad adalah manifestasi keimanan. Seseorang yang telah berikrar bersaksi akan keEsaan Allah sebagai Ilahnya serta mengakui Rasulullah s.a.w sebagai ikutannya perlu berjihad dalam membentuk kehidupannya. Jihad adalah sikap yang terhasil dari ketaqwaan, bimbang dan takut sekiranya kita dikatakan tidak serius atau tidak bersungguh-sungguh melaksanakan tuntutan Islam dalam segala aspek kehidupan.

Atas kesungguhan itulah Islam mahukan umatnya berusaha dengan kesungguhan yang tinggi,dengan niat yang ikhlas dan dengan diiringi tawakal yang berterusan. Manifestasi iman ini boleh diserlahkan dipelbagai segmen kehidupan,bukan sahaja dalam peperangan tetapi juga dipersada pendidikan, ekonomi dan politik.

Kesungguhan terhadap amanah yang dipikul tergambar dalam satu ungkapan dari Umar al-Khattab apabila pertanyaan, “Bilakah engkau tidur wahai Umar?”, lantas beliau menjawab, “Bagaimanakah aku hendak tidur, jika aku tidur disiang hari, maka akan terabailah urusan umat yang ada padaku, dan sekiranya aku tidur dimalam hari maka akan terabailah hubungankudengan Allah.”

Jihad bukanlah sesuatu yang jahat dan ganas. Jihad juga bukan satu kenakalan zaman remaja. Jihad bukan ancaman kepada manusia dan alam semesta. Jihad perlu dipupuk dengan betul dalamjiwa muda yang subur dengan benih keimanan, dibajai dengan ilmu dan disinari dengan hidayah.

Disediakan Oleh :

AMIDI BIN ABDUL MANAN

PRESIDEN ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA

Last modified on Monday, 29 September 2014 13:34
Read 1751 times
Rate this item
(0 votes)
Our website is protected by DMC Firewall!