Minda Presiden

Published in Minda Presiden

Maqasid Syariah Asas Kualiti Kehidupan Terbaik!:- Presiden ABIM Featured

Apr 03, 2015 Hit: 31779 Written by 
Maqasid Syariah Asas Kualiti Kehidupan Terbaik!:- Presiden ABIM

Maqasid Syariah antara eleman penting dalam Islam. Namun ramai masyarakat masih keliru dan kurang memahami konsep itu walaupun ia bukan gagasan baru. Wartawan Selangor Kini, HAFIZAN TAIB mewawancara Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abd Manan

Soalan:- Apa definisi Maqasid Syariah dalam konteks Malaysia apabila konsep ini diperkenal. Adakah ia baru atau lama? Bagaimana perkembangan konsep ini bermula sehingga kini?

Amidi:- Maqasid Syariah secara la-teralnya boleh diterjemah se- bagai tujuan atau maksud syariah. Ia menjurus kepada tujuan pensyariatan yang berupaya menghasilkan maslahah (kebaikan) kepada umat dan mencegah kemudaratan. Merujuk kepada pandangan al-Raysuniy yang mengumpamakan Maqasid Syariah sebagai buah yang dipetik hasil dari pelaksanaan syariat.

Maka ini juga bermaksud ada pelaksanaan syariat yang gagal mencapai buah seperti yang diimpikan. Maqasid Syariah adalah bidang yang lama dibincangkan oleh ramai ulama Islam dahulu. Ada berpandangan ia dimulakan oleh Imam al-Ghazali sendiri yang menggariskan kewujudan lima objektif utama syariah iaitu:

 

1. Pemeliharaan agama (hifz al-din)

2. Pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs)

3. Pemeliharaan akal (hifz al-a’ql)

4. Pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl)

5. Pemeliharaan harta (hifz al-mal)

Perbincangan berkaitan Maqasid Syariah berkembang dengan perbincangan yang dipelopori antaranya oleh Imam al-Shatibiy, Ibn Taimiyah, al-Amidy dan beberapa tokoh ulama lain. Selain itu, al-Qurafiy memasukkan objektif keenam iaitu Pemeliharaan Maruah (hifz al-‘irdh) dan pandangan itu selari dengan al-Tufiy dan al-Qurafiy.

Terdapat anjakan perbahasan dalam Maqasid Syariah umpamanya perbahasan mengenai Hifz al-aql yang pada mulanya hanya meliputi kehilangan fungsi aqal akibat pengambilan al-khamr (perkara yang memabukkan) kepada objektif pembangunan ilmu yang membina daya fikir saintifik dan menghindar budaya taqlid melampau.

Soalan:- Apakah peranan prinsip Maqasid Syariah dalam pembinaan negara berbilang kaum dan agama di Malaysia? Bagaimana titik pertemuan dapat diwujudkan melalui pemahaman Maqasid Syariah?

Amidi:- Dr Jamal al-Din ‘Atiyah mengemukakan sudut pandang yang agak berbeza. Beliau menyarankan, dari lima objektif unggul syariah kepada empat ranah kehidupan manusia iaitu individu, keluarga, umat dan kemanusiaan sejagat. Terdapat tujuh objektif dari sudut keumatan dan kemanusiaan iaitu:

1. Memastikan wujudnya umat secara nyata dengan esensi hakikinya, dan ciri-ciri khasnya.

2. Objektif pencapaian keamanan, keselamatan dan kedamaian

3. Objektif penegakan keadilan

4. Objektif pemeliharaan agama dan akhlak

5. Objektif kerjasama dan saling bantu

6. Objektif memelihara kewarasan akal dan membangun budaya ilmu

7. Objektif pengimarahan bumi dan pemeliharaan harta rakyat

Dari pandangan beliau, masyarakat Islam seharusnya mampu bekerjasama dengan setiap lapisan masyarakat bagi mencapai hasrat pensyariatan Islam. Ia hanya boleh direalisasi menerusi hubungan sihat sesama anggota masyarakat.

Soalan:-Bagaimana menetapkan keutamaan dalam pelaksanaan Maqasid Syariah berjalan lancar dan bijaksana dalam hal ehwal perundangan dan politik?

Maqasid Syariah datang dengan pakej yang terpadu. Ia tidak hadir secara juziyy memandangkan risalah telah dimuktamadkan. Oleh itu bagi memastikan ia dapat dilaksanakan secara terpadu, maka ia memerlukan kefahaman, kesedaran dan kebijakan semua pihak khususnya gandingan umara’ dan ulama.

Jelas ia amat berkait dengan kesepaduan ilmu. Ulama seharusnya melengkapkan diri dengan segala ilmu dan kemahiran agar kompeten sebagai tempat rujukan umat. Manakala kelompok umara’ pula mestilah mampu mengendalikan urusan umat secara cekap, amanah dan berhemah.

Soalan:- Bagaimana Maqasid Syariah dapat berfungsi dalam erti kata sebenar berasaskan permuafkatan Syura yakni menolak konsep kediktatoran dalam membuat keputusan?

Maqasid Suariah sendiri bersifat dinamik. Sebagai pemerintah yang diinspirasi oleh Maqasid Syariah, segala perubahan lingkungan, tuntutan semasa perlu mampu ditangani dengan cekap dan berkesan. Mendepani cabaran hidup yang semakin ruwet, maka sistem syura perlu diperkemas sebagai mekanisme maklum balas berkesan dari rakyat.

Tiada ruang bagi kepimpinan secara diktator jika ingin merealisasikan Maqasid Syariah.

Soalan:- Dalam menolak fahaman ekstremisme dan pelampau, bagaimana Maqasid Syariah dapat difahami untuk mewujudkan masyarakat wasatiyyah dan bertoleransi demi kebaikan ummah?

Sebagaimana yang dinyatakan pada awal perbincangan, masyarakat wasatiyyah seharusnya ditakrif sebagai masyarakat yang seimbang dan secara seadilnya perlu memahami perbezaan antara wasilah (jalan) dan ghayat (tujuan).

Contohnya, pandangan Dr Yusof al-Qaradhawi yang menyatakan bahawa pemakaian jilbab (tudung) itu adalah wasilah manakala ghayahnya pula adalah kesopanan.

Memakai jilbab yang tidak bersekali dengan kesopanan tidak akan melahirkan keindahan syariat. Oleh itu, masyarakat seharusnya tidak terheret kepada perdebatan yang merugikan.

Soalan:- Bagaimana sistem DUN/Parlimen menepati kehendak Maqasid Syariah yang akhirnya membawa kebaikan dan keadilan kepada rakyat pelbagai agama dan kaum?

Perbahasan topik Islam dan demokrasi berlangsung dengan pelbagai pandangan. Sebagaimana yang dinyatakan tadi, seharusnya DUN atau Parlimen/Dewan Rakyat sewajarnya menjadi tempat pemimpin mendapatkan maklum balas bagi memastikan Maqasid Syariah tercapai.

Cuma yang diperlukan adalah ‘listening government’ yang peka, prihatin dan cekap dalam menangani maklum balas. Seumpama Nabi Sulaiman yang tidak mengecilkan kepimpinan sang semut dalam menyelamatkan umatnya.

Soalan:- Bagaimana Maqasid Syariah dapat membangunkan ummah dan menjadi penjaga kepada hak asasi manusia?

Dalam membicarakan mengenai hak asasi manusia, beberapa kaedah usul fiqh yang berlandaskan Maqasid Syariah mula mendapat perhatian pemikir Islam pada peringkat antarabangsa. Ia didahului dengan sikap keberanian berhadapan dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Barat.

Islam terlebih dahulu mengangkat darjat manusia seluruhnya dengan penyataan al-Quran (17:70) yang menggunakan istilah Bani Adam yang merujuk kepada semua manusia sama ada Islam mahupun bukan Islam, mempunyai kemuliaan (takrim).

Dalam membahaskan istilah takrim (kemuliaan), Ibn Abbas berpandangan ia terletak pada daya intelektual atau akal yang dipunyai manusia. Dari keintelektualan, manusia diberi ruang untuk melakukan pilihan yang mempunyai risiko sama ada di dunia ataupun di akhirat.

Oleh itu, sebarang cubaan untuk menggugat akal manusia dengan menafikan keperluan kehidupan seperti pendidikan, makanan, tempat tinggal dan lain-lain adalah pencerobohan terhadap hak asasinya. Oleh demikian, ada jurang perbezaan besar antara individu yang merdeka dan tidak merdeka di sisi syariat Islam. Maqasid Syariah yang semakin berkembang dalam kesarjanaan Islam mampu merungkai dan menjadi penjaga hak asasi manusia.

Namun, Yusof al-Qaradhawi mengingatkan, walau ada ruang memilih, kita harus sentiasa mendahulukan nas berbanding maqasid.Kerana dalam nas, terkandung maslahah sebenar yang merupakan tujuan Islam diturunkan sekaligus mendasari Maqasid Syariah.

Soalan:- Dalam konteks Selangor, bagaimana untuk menterjemah konsep Maqasid Syariah supaya difahami masyarakat tanpa meninggalkan persepsi negatif terhadap pelaksanaan Undang-undang Syariah?

Amidi:- Pelaksanaan undang-undang syariah berteraskan Maqasid Syariah perlu dilakukan dengan mind set (pemikiran) yang betul. Maqasid Syariah adalah perimeter berkaitan kualiti masyarakat. Contoh, bagi hifz al-nafs (pemeliharaan diri), yang turut terkait adalah kualiti perkhidmatan kesihatan.

Bukan sekadar keselamatan nyawa dari ancaman pembunuhan tetapi seharusnya ia dilihat dari kaca mata penjagaan kesihatan menerusi segenap cara dan upaya. Kualiti makanan, contohnya juga terkandung dalam pemeliharaan diri. Oleh itu, penjualan makanan tidak berzat dan berisiko terhadap kesihatan harus dihenti.

Selain itu, kepakaran dari sudut kesihatan perlu dipertingkat. Tenaga pakar seperti pegawai perubatan, jururawat, pembantu perubatan, paramedik perlu disediakan secukupnya. Dari sini jelas, pelaksanaan undang-undang syariah bukan agenda segelintir ahli masyarakat. Seluruh warga Selangor perlu digerakkan bagi menjayakan agenda ini.

Langkah secara ‘jamaiy’ (kolektif) mesti digerakkan segera. Ia mesti keluar dari gelanggang persaingan politik kepartian. Tiada siapa yang menang atau kalah jika perundangan syariah dilaksanakan.

Yang menang adalah umat di Selangor kerana mendapat manfaat sewajarnya. Undang-undang Hudud dan Maqasid Syariah, apakah ia dua konsep berbeza, mana yang menjadi keutamaan dalam konteks Malaysia? Perundangan Syariah jangan dilihat dari aspek hudud semata-mata.

Maqasid Syariah dan Perundangan Syariah adalah dua muka dari syiling sama. Pertelingkahan berkaitan pelaksanaan undang-undang syariah tidak wajar dijadikan polemik sesama umat Islam. Di sana ada ruang berbeza pendapat dan seharusnya kita gunakan dengan penuh beradab dan berakhlak.

Soalan:- Di manakah model kejayaan sebenar Maqasid Syariah dapat dilihat? Dalam dunia masa kini, apakah model itu masih wujud dalam kekangan dunia globalisasi dan liberalisasi?

Amidi:- Maqasid Syariah dapat dilihat di serata dunia dengan tersebarnya Islam. Islam menjadi agama paling pesat perkembangannya. Salah satu keunikan Islam adalah pengekalan sifat dan identiti asas tanpa tercemar dengan adat kebiasaan masyarakat setempat. Seperti yang dinyatakan Prof Osman Bakar, Islam merupakan trend globalisasi yang pertama, sesuai dengan misi kerasulan Nabi Muhammad SAW iaitu rahmat sekalian alam.

Soalan:- Sememangnya Islam membawa mesej universalisme unik dan tidak terkekang dengan globalisasi mahupun liberalisasi dunia hari ini. Apakah beza konsep Maqasid Syariah dan Fiqh Awlawiyat, yang mana menjadi keutamaan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan penggubalan dasar?

Amidi:- Maqasid Syariah adalah tujuan utama syariah manakala Fiqh Awlawiyat pula adalah pemahaman berkaitan keutamaan. Fiqh Awlawiyat datang bersekali dengan Fiqh Muwazanat (faham keseimbangan), Fiqh waqiy’ (faham realiti) dan Fiqh Taghyir (faham perubahan).

Semua fiqh yang disebut terkemudian membantu kita menyusun keutamaan bagi menggerakkan pentadbiran negeri. Buat masa ini, keperluan mesti diberi perhatian bagi mengangkat hala tuju negeri adalah tarbiah atau pendidikan warga negeri. Latihan bagi membina kefahaman Islam yang mendalam perlu dilakukan. Perubahan atau kemajuan harus dilihat pada peningkatan kualiti manusia dan kemanusiaan.

Last modified on Friday, 03 April 2015 08:42
Read 31779 times
Rate this item
(6 votes)
DMC Firewall is a Joomla Security extension!