Minda Presiden

Published in Minda Presiden

Martabatkan Karamah Insaniah, Memimpin Kebangkitan Umat :- Presiden Featured

Aug 26, 2015 Hit: 1927 Written by 
Martabatkan Karamah Insaniah, Memimpin Kebangkitan Umat :- Presiden

Oleh Amidi Abd Manan

Reformasi diri yang terpancar pada citra Bilal ibn Rabbah, keluarga Ammar ibn Yasir dan para sahabat yang lainnya adalah kerana anjakan nilai kemuliaan diri yang melatari dakwah Rasulullah s.a.w. Dakwah yang menembusi segala benteng kedudukan sosio ekonomi, darjat dan keturunan, kerabat dan sahabat begitu dicemburui.

Karamah Insaniah yang diketengahkan dalam Islam telah memartabatkan seseorang secara adil di tempat yang mulia. Karamah Insaniah yang berdasarkan nilai taqwa dinyatakan dengan jelas dalam pernyataan:

"Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal." Al-Hujurat: 13

Wacana Karamah Insaniah Menerusi Lensa Islam & Melayu

Dari situlah umat Melayu memaknai hubungan antara rakyat dan pemerintah. Kisah pemberontakan yang dilakukan oleh Megat Sri Rama terhadap Sultan Mahmud yang membunuh isterinya kerana seulas nangka diangkat sebagai simbol perjuangan menentang kezaliman penguasa. Tiada lagi latar ‘Deva Raja’ yang membayangi masyarakat Melayu, yang harus tunduk lantaran perbezaan darjat mahupun kesaktian keramat.

 

Dr. Siddiq Fadzil menyatakan dalam bukunya ‘Islam dan Melayu: Martabat Umat & Daulat Rakyat’ yang memberi satu gambaran citra anak Melayu dalam satu ungkapan yang indah:

“Tradisi bahari atau budaya kelautan telah membentuk watak yang kuat, berdaya tahan dan berdaya juang. Di darat banyak tempat yang selamat, banyak pilihan untuk berteduh dan berlindung, bersembunyi dan berdiam diri, mengelak dan menghindar. Tetapi di laut tidak banyak pilihan, malah mungkin tidak pilihan sama sekali. Anak laut tidak dapat lari dari gelombang dan taufan, tidak dapat menghindar dari ribut dan badai. Tidak ada pilihan bagi anak laut selain menghadapi dan menaklukinya dengan sepenuh keberanian dan kekuatan.”

Keberanian umat Melayu lahir dari perubahan ‘pandangan sarwa’ yang tauhidik sifatnya. Ia membebaskan umat Melayu dari segala pembelengguan yang merugikan. Membina pandangan hidup yang jelas fungsi dan aturannya, serta membina sistem kehidupan yang berteraskan kalimah syahadah yang akhirnya mengangkat martabat diri umat Melayu.

Oleh itu segala kekuatan pembinaan bangsa seharusnya terpusat pada memartabatkan karamah insaniah. Yang mengangkat nilai diri manusia dan dipacu oleh kemampuan aqal fikiran. Bukan persoalan hak dan sentimen semata-mata yang akhirnya memerangkap kita dalam asabiah sempit dan merugikan.

CABARAN MEMARTABATKAN KARAMAH INSANIAH

Bagi menghadapi cabaran memartabatkan karamah insaniah ini, asas-asas keintelektualan umat perlu diperkukuhkan. Dalam lipatan kegemilangan tamadun Islam, diakui kekuatan intelektual yang berupaya menapis dan menyaring, segala unsur dalam tamadun lain merupakan faktor yang tidak boleh dinafikan. Tidak menerima segalanya dan tidak menolak segalanya menjadi asas dalam tradisi keintelektualan umat Islam. Perkara ini dinyatakan oleh Prof. Dr Hasan Langgulung:

“Tamadun Islam tegak dicetus atas dialog yang membina prinsip memberi dan mengambil. Dengan itu ia dapat menghadamkan pencapaian sains yang mekar pada tamadun-tamadun yang lain, malah ia menambah dan memperkayakannya sehingga ia mengeluarkan tamadun gemilang dan cemerlang dalam segala bidang ilmu dan pengetahuan”.

Oleh itu segala pandangan dan buah fikiran perlu mendapat tempat yang sewajarnya. Kaedah membutakan dan menulikan fikiran adalah kaedah yang sama sekali bertentangan dengan prinsip Karamah Insaniah. Gejala pembodohan ini, akhirnya akan menjebak masyarakat ke dalam lekuk al-fikr al-mayyit, pemikiran yang dilanda kematian nilai positif dan berhadapan dengan nilai asing yang mengganas.

Ibn Khaldun pula mengistilahkan fenomena ini sebagai ‘kematian manusia’. Ia berlaku apabila aqal manusia telah jumud dan hilang daya upaya, menghasilkan idea perubahan yang menyaksikan tamadun manusia menuruni fasa inhiyar (kehancuran). Pemerhatian ini sejajar dengan ayat al-Quran yang masyhur yang sering kita ungkapkan:

Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaanyang ada pada diri mereka sendiri. Surah al-ra’d ayat 11.

Terjerumusnya masyarakat ke dalam kancah kematian pemikiran ini adalah disebabkan kelekaan dengan hiburan (hedonistik), terpesona dengan kemewahan harta benda (materialistik) dan hidup dengan mementingkan diri sendiri (individualistik).

Ketiga-tiga jenis kehidupan ini menyebabkan terbentuknya golongan yang merasa senang dan selesa dengan segala kemudahan dan kenikmatan hidup yang ada. Mereka ini malas untuk berusaha memperbaiki diri dan telah kehilangan daya ubah bagi melonjak masyarakat ke arah yang lebih baik lagi.

Golongan ini digelar oleh Malik Bennabi sebagai ‘al-raj al-hadharah’ yang hanya berjuang mahu mengekalkan situasi yang sedia ada. Maka inilah cabaran yang perlu kita hadapi untuk mengeluarkan generasi muda hari ini dari zon selesa (comfort zone). Zon yang meragut dinamika kepemudaan dan mengkembirikan kejantanan bangsa.

Golongan yang berupaya memulakan kebangkitan semula, kitaran kegemilangan sesebuah tamadun, digelar oleh Malik Ben Nabi sebagai ‘al-raj al-fitrah’. Golongan ini dicirikan dengan sikap yang reseptif bagi menerima idea baru dan senantiasa memperbaiki diri, baik dari sudut keilmuan dan kemahiran. Oleh itu mari kita merenung dan bermuhasabah di golongan manakah kita tergolong? Golongan yang hanya memperjuangan keselesaan atau golongan yang mahu melonjakkan sebuah kebangkitan.

Last modified on Wednesday, 26 August 2015 09:22
Read 1927 times
Rate this item
(0 votes)
DMC Firewall is a Joomla Security extension!