Justeru, ABIM merasakan bahawa keyakinan terhadap undang-undang syariah perlu dibina oleh pihak UMNO, PAS dan PKR dengan tumpuan terhadap stake holder utama BN dan Pakatan Rakyat iaitu MCA (BN) dan DAP (Pakatan Rakyat).
Ini memandangkan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh para pemimpin MCA-DAP seolah-olah menggambarkan bahawa UMNO-PAS-PKR gagal memberikan pemahaman yang sepatutnya terhadap undang-undang syariah kepada kedua-dua rakan politik mereka.
Perlaksanaan hukuman hudud memerlukan political will yang kuat dalam bentuk sokongan serta pemahaman daripada MCA-DAP. Demi untuk membentuk political will yang kuat ini, UMNO-PAS-PKR perlu menggalas tanggungjawab untuk mengetengahkan pemahaman menyeluruh serta akademik terhadap perlaksanaan hukuman hudud. Baik UMNO, PAS dan PKR perlu mengelak retorik perkauman serta keagamaan yang keterlaluan dalam menangani polemik.
Semua pihak perlu bertanggungjawab untuk mengelakkan Islamophobia daripada disemarakkan ekoran daripada isu ini, yang boleh menjejaskan kestabilan politik serta hubungan antara agama di negara ini.
Dalam hal ini, ABIM ingin memetik kajian yang dilakukan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) pada 2012 yang lalu yang mendapati 42 peratus masyarakat Cina percaya bahawa undang-undang Islam dapat menjamin keadilan untuk semua.
Seharusnya UMNO-PAS-PKR memanfaatkan fakta ini untuk mengetengahkan dakwah kepada MCA-DAP-PKR serta masyarakat bukan Islam. Pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh para pemimpin MCA-DAP menggambarkan bahawa pemahaman serta persepsi mereka terhadap Hudud masih rendah serta negatif. Pemahaman yang betul mampu mengetengahkan keindahan undang-undang Islam kepada masyarakat bukan Islam di negara ini.
Hasri Harun, Naib Presiden,
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)