Sinar Ramadhan 1438H
Jiwa Peduli: Keimanan, Ke-Umat-An Dan Kemanusiaan.

 

oleh Mohammad Fazril bin Mohd Saleh

Mutakhir ini kita menyaksikan fenomena xenofobia semakin menjadi-jadi. Negara yang awalnya dikenali sebagai ‘a friendly Muslim country’ ini mulai berubah menjadi ‘an angry Muslim country’. Segelintir warga cenderung merobek slogan ‘Malaysia Truly Asia’ menerusi tindak tanduk mereka yang terlihat kasar terhadap golongan pelarian dan pencari suaka. Babak demi babak tercipta, hebohnya mencipta pelbagai reaksi – ada yang kasihan dan prihatin, sebaliknya tidak sedikit yang selamba berkata “padan muka mereka…”.

MATI RASA, TIPIS IMAN.

Dari isu layanan pihak berkuasa kepada pelarian dalam tahanan, kepada peristiwa hampir sedozen keluarga pelarian dihalau penduduk kampung – kesemua ini hanyalah suatu simptom terhadap barah sebenar dalam masyarakat, iaitu hilangnya kepedulian, mati rasa, tipis iman.

Pastinya kita tidak harus menunding jari, mencari salah siapa di sebalik peristiwa-peristiwa ini. Cuma, apakah kekasaran akan membawa penyelesaian? Apakah tindakan dengan emosi memberi kelegaan? Fikir sejenak, adakah para pelarian ini mahu jadi pelarian? Jika kita di tempat mereka, bukankah kita juga meminta untuk diberi belas ehsan?

PAPARAN RISALAH KALI INI.

Oleh yang demikian, untuk paparan Risalah kali ini (edisi siaran dalam-talian) membawakan fokus terkait isu pelarian dan konflik dunia. Beberapa makalah menyorot peristiwa dan tindakan wajar yang perlu diambil oleh manusia yang punya hati nurani, apatah lagi manusia yang mengaku beriman. Makalah lain mengukuhkan justifikasi untuk menyantuni sebaiknya golongan pelarian ini, atas asas keimanan, ke-umat-an, dan kemanusiaan.

Ahmad Fahmi membangkitkan perihal fenomena ‘pandemik pelarian’ akibat krisis dunia yang tidak kunjung malap. Tulisan beliau berjudul Konflik Dunia Berterusan Cetus Pandemik Pelarian mempersoal sikap segelintir kaum Muslimin yang tidak mempedulikan saudara mereka yang ditimpa kesusahan, diuji Allah menjadi pelarian. Beliau juga tidak lekang menyebut peranan ABIM dan keluarga besarnya (WADAH-ABIM-PKPIM) dalam menyantuni golongan “Muhajirin” ini melalui pelbagai insiatif termasuklah pendidikan. Sampai masanya, Allah mengangkat musibah mereka, para pelarian ini akan kembali ke Tanah Air mereka. Saat itulah, pelarian yang terdidik memainkan peranan membangun manusia dan mendirikan semula negara mereka.

ABIM mempunyai track record yang cemerlang dalam menangani isu pelarian sejagat dan menyantuni golongan pencari suaka ini sebagai “muhajirin”. Sebahagian kisah kejayaan ABIM diungkap oleh Maria Kamel dan Wan Fadhilah dalam catatan misi kemanusiaan ke Bosnia baru-baru ini. Makalah berjudul “Malaysia Mekar dalam Ingatan Rakyat Bosnia” merupakan bukti jiwa ummatik yang ditanamkan dalam jiwa para aktivis ABIM sehingga termanifestasi dalam tindakan mereka. Orang Bosnia tidak mungkin melupakan jasa Malaysia, dan bakti ABIM pada ketika Tuhan menguji mereka dengan ujian kemusnahan akibat peperangan lebih dua dekad lalu.

Kita sering mendengar kisah persaudaraan Muhajirin dan Ansar, pada ketika peristiwa Hijrah Nabi dari Makkah ke Madinah. Apa yang mendorong mereka untuk bersaudara? Itulah ‘iman’, sebagaimana terungkap dalam makalah oleh Omar Mokhtar dalam refleksi terhadap surah al-Hashar (ayat 8-10). Refleksi ini sedikit sebanyak mengetuk pintu hati kita untuk terus peduli kepada golongan kesusahan, kelompok mustad’afin yang serba-serbi kekurangan.

Ahmad Azam Ab Rahman pula mengobarkan semangat ummatik lewat makalah beliau berjudulIslam dan Ketamadunan Sejagat”. Menurut beliau, hanya dengan mengikuti ajaran al-Qur’an yang sebenar, maka umat Islam akan beroleh kemenangan dan kemuliaan. Prinsip ummatik menjadi keutamaan dalam memastikan keamanan dunia sejagat. Hari ini, khilafah Islamiyah sudahpun terkubur. Jika bukan kita yang memainkan peranan masing-masing bagi melindungi sesama saudara seiman kita, khilafah yang baharu pastinya jauh lagi untuk terbit di dunia ini.

Media sosial memang sinonim dengan fenomena ‘kecam-mengecam’. Buat jahat pastinya dikecam, buat baik pun dikecam juga. Oleh itu, dipaparkan jawapan ABIM kepada netizen berhubung isu menyantuni para ‘muhajirin’ Rohingya di negara ini. Juga dipaparkan maklumat buku terbitan ABIM berkaitan isu ini berjudul Rohingya: Bantu atau Bantai.

MEMBANGUN CINTA DAN AKTIVISME

ABIM sentiasa komited menjalankan tugasan sebagai hamba dan khalifah sedaya mungkin. Oleh itu, proses menyebarkan manfaat dalam kalangan mereka yang memerlukan adalah salah satu peranan ABIM sebagai gerakan ilmu dan bakti. Maka, pentingnya dibangunkan cinta dan aktivisme dalam diri umat khasnya para aktivis ABIM.

Cinta adalah fitrah manusia. Cinta di sini membawa maksud kasih-sayang, ukhuwah, persahabatan, dan persaudaraan. Nabi Muhammad saw pernah bersabda, “Orang yang berkasih sayang akan disayangi oleh Yang Maha Pengasih. Kasihilah kamu para penduduk Bumi, maka kamu akan dikasihi para penduduk langit”.

Dengan kasih sayang, dunia akan menjadi tempat yang lebih baik untuk manusia menjalankan kehidupan kerana tiada peperangan dan kesengsaraan. Dengan kasih sayang, seseorang akan berasa aman dan bahagia. Dengan cinta dan kasih sayang, seseorang akan rasa dihargai dan dimuliakan.

Dengan cinta, kita akan peduli kepada orang lain yang memerlukan. Justeru, membangun cinta adalah tanda keimanan kita dan tanda kepedulian kita terhadap yang lain.

Manakala, aktivisme bermaksud manifestasi ilmu pengetahuan, pemikiran, harapan, cita-cita dan fikrah seseorang. Manifestasi ini terpamer dalam kegiatan, aktiviti, program dan kehidupan harian seseorang. Aktivisme perlu dilatih. Oleh sebab itu, program-program dirangka bagi member pendedahan dan ruang untuk memanifestasikan pemikiran dan fikrah ahli gerakan yang akhirnya akan membawa kepada pengamalan praktikal dalam kehidupan seharian.

Diharapkan agar usaha ABIM ini diberkati Ilahi!

Penulis adalah Setiausaha Agung ABIM merangkap Ketua Editor RISALAH.

Read 4 times
Rate this item
(0 votes)
Polemik Taski-Pasti: Perlu Adil Pada Sejarah Yang Tepat & Benar.

 

Oleh: Muhammad Faisal Abdul Aziz (Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia – ABIM).

Assalamu'alaikum warahmatullah wabarakātuh.

Saya tidak gemar untuk mempolemikkan isu ini. Tapi bagi saya kita harus adil dengan sejarah. Dakwaan bahawa Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI) yang diasaskan ABIM sejak tahun 1975 adalah sebenarnya Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di bawah inisiatif Parti Islam Se-Malaysia (PAS), adalah dakwaan yang songsang.

Pertama, pada tahun 1970-an termasuk pada tahun ABIM mula-mula menubuhkan TASKI, ABIM adalah gerakan Islam yang kuat mengkritik kerajaan hingga Presiden ABIM waktu itu, Sdr. Anwar Ibrahim (Dato’ Seri – DSAI) ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Akan tetapi berbeza dengan PAS, pada waktu itu mereka bergabung bersama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dalam kerajaan Perikatan (kemudian dikenali sebagai Barisan Nasional – BN) dari tahun 1973 sehingga tahun 1977.

ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 telah mengisi kelompangan dunia ‘anti-establishment’ akibat PAS yang menyertai kerajaan campuran tersebut.

Justeru, PAS dan ABIM adalah dua entiti berbeza kerana ideologi politik ABIM dan PAS sewaktu awal 1970-an ketika TASKI ditubuhkan adalah secara nyata - berbeza. Dakwaan mengatakan ABIM adalah PAS pada tahun 1970-an juga amat menyalahi fakta sejarah.

ABIM kuat mengkritik kerajaan waktu itu, kerana kerajaan tidak membawa agenda Islam yang kemas dan tersusun, walaupun PAS berada dalam kerajaan. Maka, ABIM tampil dengan pelbagai gagasan termasuk menerusi Memorandum Pelajaran 1974 yang diketuai Prof. Dr. Osman Bakar (Ketua Biro Pendidikan ABIM waktu itu), gagasan penubuhan universiti Islam dan lain-lain yang dipelopori ABIM dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Pada tahun 1980-an, ABIM dan PAS memasuki episod berbeza. PAS apabila dibuang UMNO sejak 1977 telah menjadi pembangkang yang banyak mengkritik kerajaan kerana tidak Islamik, sedangkan sebelum ini mereka sendiri menjadi sebahagian daripada kerajaan.

ABIM pula dengan kemasukan Presidennya, DSAI ke dalam UMNO / Kerajaan Persekutuan mula menyusun agenda Islam secara kemas dan tersusun dalam kerajaan hingga berjaya mengarusperdanakan Islam sebagai agenda rasmi kerajaan.

Perlu dinyatakan di sini bahawa meskipun DSAI menyertai UMNO dan ramai pimpinannya menyertai PAS, ABIM sebagai sebuah Gerakan Ilmu dan Bakti masih kekal utuh bergerak sebagai sebuah Badan Masyarakat Madani (CSO/NGO) sehingga ke hari ini, meskipun boleh memilih untuk menyertai Kerajaan Persekutuan ataupun menjadi sebuah parti politik pembangkang.

Dasar penerapan nilai-nilai Islam tidak hanya dilihat sebagai retorik, sebaliknya dizahirkan menerusi perlaksanaan dasar dan akta. Segala gagasan yang dibincang serta dibahaskan secara serius dalam siri Usrah, Tamrin serta Muktamar ABIM, kemudiannya diangkat untuk dilaksanakan pada peringkat Persekutuan.

Maka, idea gagasan besar ABIM berjaya dilaksanakan termasuk dengan penubuhan Universiti Islam, pengemaskinian subjek pendidikan Islam di sekolah, penubuhan koperasi Islam, penubuhan institusi kewangan Islam (patuh syariah), dan lain-lain.

Hubungan PAS dan ABIM pasca 1980

Namun, ABIM sentiasa mendapat nasihat dari bekas pimpinan ABIM yang memimpin PAS khususnya Ustaz Fadzil Mohd Noor (Dato’ Haji - Almarhum) serta deretan pimpinan utama, ulama’ serta ustaz daripada ABIM yang menyertai PAS hasil keputusan Majlis Syura Tertinggi ABIM. Ustaz Fadzil Noor yang juga antara ikon ABIM pernah menjadi Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978).

Sewaktu Presiden Kedua ABIM, DSAI mendekam di bawah ISA, jawatan Presiden ABIM dipangku oleh Ustaz Fadzil sendiri.

ABIM sentiasa menghargai PAS sebagai gerakan Islam yang ada peranan besar waktu itu. Kerana itulah dalam Majlis Syura Tertinggi ABIM, telah diputuskan bahawa ABIM bertanggungjawab untuk memperkuatkan PAS yang ditendang daripada Perikatan pada 1977. Maka Ustaz Fadzil Noor dan pimpinan utama ABIM telah diputuskan dalam Syura ABIM untuk menyertai PAS secara rasmi.

Selain itu, hubungan antara bekas pimpinan ABIM tetap terjalin mesra di luar lingkungan politik. Ini dibuktikan dengan hubungan erat Ustaz Fadzil Noor (ketika itu Presiden PAS) yang tetap menjaga ukhwah persaudaraan dan persahabatan dengan DSAI, meskipun berbeza wadah politik. Sebagai contoh, beliau bersama ramai bekas pimpinan ABIM yang telah menyertai UMNO dan PAS (termasuk DSAI – Ketika itu Timbalan Perdana Menteri) tidak kekok duduk semeja dalam Sambutan 25 Tahun Penubuhan ABIM pada 1996.

Ustaz Fadzil Noor, yang pernah memangku jawatan Presiden ABIM ketika DSAI mendekam di bawah ISA kerana mengadakan demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974, adalah antara ikon ABIM yang tegas berpegang kepada prinsip kebenaran dan keadilan.

Gerakan Reformasi 1998, Syarahan Perdana Palestin 2002 dan sebagainya adalah bukti jelas bahawa agenda ABIM untuk membina masyarakat madani, yang mampu berfikiran rasional, meski berbeza ideologi politik.

Bagi saya, tuntasnya, sama ada ABIM atau pun PAS, masing-masing mempunyai peranan besar dalam masyarakat. Namun, perbahasan mengenai peranan masing-masing harus adil berasaskan sejarah yang tepat dan benar - bukan sebaliknya.

Read 5 times
Rate this item
(0 votes)
Umat Islam Bosnia Sesudah 25 Tahun Tragedi Srebrenica.

 

Tahun ini merupakan tahun ke-25 ulang tahun tragedi pembunuhan beramai-ramai ke atas penduduk Srebrenica, Bosnia Herzegovina.
.
Tahun yang sama itu juga menyaksikan ribuan lelaki dibunuh dengan kejam dalam tempoh tidak sampai seminggu, termasuklah remaja dan kanak-kanak lelaki.
.
Perempuan juga tidak ketinggalan diseksa dan diperkosa sehingga ada yang membunuh diri kerana tidak sanggup berdepan dengan tekanan yang ada.
.
Dan dianggarkan lebih kurang 1,000 mangsa lagi yang masih tidak ditemui dan dikesan sehingga ke hari ini.
.
Bayangkan, tidak sampai seminggu ribuan dari mereka kehilangan ahli keluarga dan menjadi sebatang kara, semuanya berpunca dari niat jahat menghapuskan orang Islam dari bumi Bosnia.
.
Jika saya di tempat mereka pada waktu itu, dengan berumur hanya lima tahun sahaja, entah apa yang mampu saya lakukan untuk kekal bertahan mengharung kehidupan.
.
Mereka yang masih hidup benar-benar adalah pejuang.
.
Srebrenica pula sehingga ke hari ini menjadi kawasan yang sunyi dan sepi, barangkali masih meratapi kehilangan warga 25 tahun yang lalu.
srebrenica memorial 2

 

Kekejaman pembunuhan dan ada yang menyebut sebagai penghapusan etnik BosniaK (Muslim Bosnia) mengkhususkan kepada lelaki dewasa dan kanak-kanak lelaki itu berlaku pada 11 Julai - 22 Julai 1995.

Ada yang dibunuh di dalam terowong dan mayat mangsa kebanyakannya dihumban ke dalam sungai (ketika ini ada dua sungai besar berhampiran yang menjadi tempat pembuangan mangsa).

Lebih 6,000 mangsa kemudiannya dapat dikenalpasti melalui pengecaman dan ujian DNA. Sebahagian besar disemadikan di Tanah Perkuburan Potocari-Srebrenica, dan baki mangsa masih hilang dan tidak ditemui.

BiH masih sedang membangun dan akan terus membangun dari luka dan kesedihan semalam.

Sokongan dan dokongan berterusan diperlukan lebih-lebih lagi dari Malaysia yang dianggap saudara yang pernah membantu memudahkan, menawarkan perlindungan dan membuka tangan ketika mereka berhadapan dengan konflik peperangan yang meruntun jiwa.

Oh ya! ABIM juga di antara yang terawal bersama menghulurkan keprihatinan dan cakna merentas sempadan dengan mewujudkan Tabung Bosnia ketika itu.

Semoga BiH terus aman dan makmur serta dipelihara Allah dalam setiap pembangunan jiwa, bangsa dan negara yang sedang dilaluinya.

Allahimanet Bosna ❤

Jemput baca catatan ringkas ziarah dan lawatan kami membawa misi kemanusiaan dan menyambung ukhuwah ke Bosnia and Hercegovina (BiH) awal tahun ini (Klik pada imej di bawah).

risalah abim bosnia

Read 6 times
Rate this item
(0 votes)
Sejarah Taski Dan Pasti: Tiga Fakta Yang Perlu Kita Tahu.

 

Oleh: Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim (Pengerusi Yayasan Takmir Pendidikan – YTP)

Saya terbaca satu artikel penulisan daripada seorang sejarawan PAS, yang juga pimpinan PAS Pusat dalam hantaran Facebooknya, berkait tentang PASTI di Malaysia pada 8 Julai 2020. 

Beliau juga ada menambah hantaran FB kemudiannya yang meneruskan fakta yang kurang tepat dan mengelirukan.

Dalam artikel berkenaan, beliau juga turut menyentuh sejarah PASTI yang juga dipetik beberapa kenyataan tentang TASKI ABIM. Malangnya, kenyataan tersebut bukan sahaja tidak tepat, malah jauh daripada kebenaran sejarah, sedangkan tokoh-tokoh pengasas TASKI dan PASTI masih lagi ada untuk mendapat fakta yang lebih berotoriti.

Terdapat sejarah hitam yang kita tidak mahu ungkit atas faktor persaudaraan dan kasih sayang sesama Muslim, namun, memusingkan dan menipu sejarah adalah suatu kekesalan yang perlu dijawab. Dalam artikel ini, saya fikir, amat perlu dijelaskan tiga perkara persoalan di bawah untuk memperbetulkan maklumat yang telah disebarluaskan oleh beliau, dengan harapan, agar institusi pendidikan kita semua dapat berdiri secara bermaruah dan meneruskan bakti kepada umat, saling melengkapi dengan barakah dan kasih sayang Tuhan.

Ya, saya setuju, bahawa institusi pendidikan Islam bukan untuk bermusuh. Jadi, kita jujur dengan sejarah, dan perbaiki mana yang tak betul.

1. Benarkah wujud persefahaman di antara ABIM dengan PAS ketika 70-an dan 80-an tentang pelaksanaan tadika Islam di Malaysia?

Tidak benar. Tidak wujud sama sekali persefahaman baik secara hitam putih, mahupun secara mutual di antara ABIM dengan PAS berkaitan pelaksanaan institusi pendidikan prasekolah Islam atau tadika Islam. Inisiatif tadika Islam kali pertama disebut dan dijelmakan dalam memorandum ABIM kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 1974 atas kebimbangan masyarakat muslim tentang kebanjiran tadika asing yang beroperasi di sekolah misionari kristian dan di gereja.

ABIM memohon supaya pihak kerajaan menyelaras sukatan pelajaran yang diberikan kepada tadika di seluruh negara agar selaras dengan matlamat pendidikan negara. Memorandum ini diserahkan kepada YB Menteri Pendidikan pada masa itu, Dr Mahathir Mohamad.

Presiden ABIM pada waktu itu adalah sdr. Anwar Ibrahim. Pada waktu itu, PAS adalah sebahagian daripada komponen kerajaan persekutuan dengan UMNO.

Tanpa menunggu tindakan kerajaan, ABIM terus memberikan solusi kepada umat Islam di Malaysia dengan memulakan model tadika Islam secara rintis pada 1975, dan seterusnya dikembangkan pada 1979 ke seluruh negara dengan jenama Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI).

Manakala, institusi pendidikan prasekolah Islam milik PAS, iaitu PASTI hanya diwujudkan pada 1988, manakala institusi prasekolah KPM hanya diwujudkan pada 1992. Seterusnya, kita melihat pelbagai institusi pendidikan prasekolah Islami muncul dalam pelbagai jenama.

2. Benarkah ‘ABIM diamanahkan untuk menggerakkan institusi pendidikan prasekolah Islam’ oleh PAS?

Tidak benar. Berdasarkan memorandum pelajaran 1974 yang diserahkan ABIM kepada KPM, ABIM berasa bertanggungjawab untuk memberikan alternatif kepada pendidikan prasekolah yang sedia ada di Malaysia. Selain institusi prasekolah yang digerakkan oleh misionari kristian dan berorientasikan inggeris, kerajaan ada mengelolakan institusi yang dinamakan Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) KEMAS pada 1970.

Namun, tiada institusi pendidikan prasekolah yang bernuansakan pendidikan Islam dan bersepadu sehinggalah ABIM memulakannya pada 1975.

Maka, pada 1975, ABIM telah memulakan inisiatif tadika Islam secara rintis di Melaka, Selangor dan Pulau Pinang sebelum diperluaskan di seluruh negara secara rasmi pada 1979. Ustaz Niamat Yusuf (Allahyarham), pengasas dan pencetus idea penubuhan TASKI berpendapat, “Saya yakin pendidikan sekular tidak akan sampai ke mana dan tidak dapat menyelesaikan masalah ummah”.

Sesungguhnya, kesedaran untuk menubuhkan institusi pendidikan prasekolah berteraskan Islam timbul sejak awal penubuhan ABIM lagi, iaitu pada 1971.

Justeru, lebih tepat jika dikatakan bahawa asas kewujudan ABIM sendiri adalah untuk terus mengadvokasikan cara hidup Islami dalam masyarakat melalui pelbagai sektor kehidupan, termasuk sektor pendidikan.

Maka, merealisasikan model institusi pendidikan alternatif berwajah Islamik merupakan asas tanggungjawab kewujudan ABIM sendiri. Bagi ABIM, bercakap soal pendidikan merupakan ‘our deepest conviction’ dalam melakukan perubahan pembaikan dalam masyarakat.

3. Bagaimana perkaitan penubuhan PASTI dengan TASKI?

Ini panjang sedikit ceritanya. Saya cuba ringkaskan berdasarkan maklumat dan data yang kita rujuk daripada pendiri TASKI dan pimpinan lepas, yang masih ada lagi. Maksudnya, data ini legit, telah disahkan dan sumber primer dan berotoriti.

Memang ABIM adalah pelopor pendidikan Prasekolah atas jenama TASKI. Sejak 1979, ramai ahli ABIM menubuhkan TASKI di banyak daerah seluruh negara. ABIM ditubuhkan sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) sejak 1971 dan keahlian terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar politik.

Secara umumnya, memang ada aktivis ABIM yang terlibat sebagai ahli dan aktivis di pelbagai parti politik khususnya di dalam UMNO dan PAS.

Untuk memahami latar pengkisahannya, pada 1974, ketika PAS bergabung dengan UMNO, ramai dalam kalangan ahli PAS berasa tidak berpuas hati dan telah bergiat sebagai aktivis ABIM. ABIM dianggap sebagai pertubuhan yang begitu lantang dalam menyuarakan pandangan Islamnya, yang mana gagal dilakukan PAS ketika dalam kerajaan. Malah, PAS pada ketika itu, lebih bersifat nasionalis berbanding Islamis.

ABIM mengambil tempat PAS sebagai kumpulan pendesak kepada kerajaan atas isu-isu melibatkan umat Islam. Dianggarkan sekitar lapan ribu ahli PAS menyertai ABIM sekitar tahun 1974. Walau bagaimanapun, tidaklah sampai boleh mendakwa sebahagian besar ahli ABIM menyokong PAS.

Pada ketika PAS mengalami peristiwa dikeluarkan daripada parti pemerintah pada 1977 ekoran pergolakan dalaman PAS sendiri, PAS amat memerlukan blood transfusion, iaitu pada era Presidennya Datuk Asri meletakkan jawatan.

ABIM membuat keputusan untuk menghantar tokoh pimpinan utama ABIM seperti Timbalan Presidennya, Fadzil Noor (Allahyarham), Abdul Hadi Awang (Yang DiPertua Terengganu), Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman (Bendahari ABIM) dan Nakhaie Ahmad (Naib Presiden) ke dalam PAS dan seterusnya telah mencetuskan semula pengaruh ulama dalam kepimpinan PAS pada 1978.

Dengan kemasukan ulama muda ABIM ini, fikrah perjuangan PAS berubah kepada perjuangan bernuansa gerakan Islam. Kebanyakan daripada mereka dan ahli PAS berkeyakinan bahawa Presiden ABIM, Anwar Ibrahim akan turut menyusul menyertai PAS.

Namun setelah Anwar Ibrahim memasuki UMNO pada 1982, maka ahli ABIM yang pro PAS dan ahli ABIM yang bekas ahli PAS pasca 1977, meninggalkan pula ABIM untuk menyertai PAS semula. Antara kesannya, kawasan yang mana pengaruh PAS sangat kuat, khususnya di negeri Terengganu dan kawasan luar bandar dan pedalaman, institusi TASKI yang digerakkan ahli ABIM yang juga ahli PAS secara beransur-ansur mula mengasosiasikan diri sebagai tadika Islam PAS sebagai tanda protes kepada keputusan ABIM, UMNO dan Anwar Ibrahim.

Proses perbincangan dan penerangan berlaku di lapangan. Namun, amat sukar untuk mendapatkan persefahaman dengan mereka yang kita faham emosi dan psiki sebagai ahli ABIM, pada masa sama juga pengusaha TASKI, yang mana juga bekas ahli PAS yang sertai ABIM ekoran peristiwa 1977, kemudiannya menyertai semula PAS disebabkan marah dengan keputusan muktamar ABIM, keputusan Anwar menyertai UMNO, dan ditambah pula dengan UMNO yang pada waktu itu dilabel sebagai ‘kafir’.

Pihak berkenaan sangat keras dengan menuduh ABIM menjadi macai Anwar dan UMNO sedangkan mereka juga maklum terdapat beza besar di antara pergerakan parti politik UMNO dan PAS, dengan pergerakan NGO seperti ABIM. Pada waktu itu, tindakan Anwar dikeji PAS dengan gelaran seperti 'masuk tong tahi', 'UMNO kafir' dan lain-lain lagi. Malah, ada fatwa yang amat terkenal yang dikenali sebagai ‘amanat Hj Hadi’ yang dipegang oleh PAS pada waktu itu.

Maka, pada 1985, Biro Pendidikan ABIM mengambil keputusan untuk mengeluarkan TASKI Terengganu daripada pengurusan TASKI kebangsaan, kecuali beberapa TASKI di bawah pengurusan Cikgu Harun.

Semua TASKI, termasuk di Terengganu, dari awal penubuhan lagi, adalah bersama-sama pengurusan TASKI kebangsaan, termasuk latihan guru, penggunaan buku teks dan kurikulum.

Namun, setelah 1985, TASKI tersebut diuruskan sendiri oleh Pemuda PAS, di bawah pimpinan Zakaria Dagang, namun mereka masih mengekalkan jenama TASKI , termasuk kurikulum dan buku teks yang sama.

Ini merupakan sejarah pahit dan gelap yang mahu kita lupakan tetapi tidak luput dari memori luka sepanjang penubuhan TASKI. Akhirnya, PAS menubuhkan secara rasmi institusi pendidikan prasekolah mereka dengan jenama Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) pada 1988, yang mana Pengerusi pertama PASTI Malaysia, Abu Bakar Chik (Allahyarham) juga adalah Setiausaha ABIM Terengganu, pengetua Institut Berakan, Terengganu (yang juga institusi pendidikan ABIM) yang menyertai PAS pada 1981.

Read 8 times
Rate this item
(0 votes)
ABIM Saran Tempoh Moratorium Dilanjutkan.

 

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyarankan tempoh moratorium atau penangguhan bayaran balik pinjaman kewangan yang berakhir September ini dilanjutkan ke tempoh yang bersesuaian selari dengan petunjuk keberhasilan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata pihaknya bimbang sebahagian rakyat mungkin belum bersedia menghadapi fasa kehidupan selepas tempoh moratorium berakhir, terutama golongan yang diberhentikan kerja.

"Secara prinsipnya, ABIM menyambut baik skim moratorium ini yang ternyata memberi kelegaan kepada rakyat ketika menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagaimanapun, kami menyuarakan kekhuatiran oleh sebahagian segmen masyarakat khususnya mereka yang masih belum bersedia untuk menghadapi fasa selepas tempoh moratorium berakhir.

"Bermula Oktober ini, mereka perlu kembali menanggung komitmen dalam bentuk pembayaran balik pinjaman, justeru menyulitkan golongan pekerja yang diberhentikan atau dibuang pekerjaan kerana mereka hilang punca pendapatan susulan pandemik COVID-19

"Oleh yang demikian, ABIM menyarankan supaya tempoh skim moratorium ini dilanjutkan ke tempoh yang bersesuaian, iaitu selepas ekonomi rakyat dapat ditingkatkan selari dengan indikator keberhasilan pakej PENJANA," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 23 Mac lalu, Bank Negara membenarkan pelanggan perbankan, termasuk individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menangguhkan pembayaran balik pinjaman sedia ada mereka, termasuk gadai janji dan sewa beli, untuk tempoh enam bulan berkuat kuasa 1 April lalu.

Ia langkah tambahan untuk mengurangkan beban perniagaan dan isi rumah yang dijangka terkesan oleh penularan COVID-19.

Muhammad Faisal berkata, ABIM turut berpandangan program dan inisiatif memberi semula pekerjaan kepada rakyat yang diberhentikan kerja harus mempunyai tempoh sasaran keberhasilan yang jelas dan munasabah.

Katanya, subsidi upah kepada majikan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga wajar dilanjutkan sehingga akhir tahun ini untuk memastikan majikan dapat meneruskan operasi dan melanjutkan penggajian pekerja sedia.

"Ia dapat membantu kerajaan mencapai garis hala tuju ekonomi semasa, khususnya bagi memastikan isu pengangguran ditangani dengan baik, seterusnya merancakkan kembali aktiviti ekonomi," katanya. Sumber Berita Harian.

Read 25 times
Rate this item
(1 Vote)

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada tempoh moratorium enam bulan untuk bayaran pinjaman yang diumumkan yang bakal berakhir pada September 2020.

ABIM beranggapan moratorium ini telah memberi kelegaan kepada rakyat ketika menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya apabila aktiviti ekonomi tidak dapat bergerak.

Namun, ABIM khuatir rakyat masih belum bersedia untuk menghadapi fasa selepas tempoh moratorium berakhir untuk membayar semula komitmen pinjaman terutama golongan pekerja yang telah dibuang pekerjaan dan hilang pendapatan susulan pandemik Covid-19.

Justeru, ABIM menyarankan supaya tempoh moratorium ini dilanjutkan ke tempoh yang bersesuaian selari dengan indokator keberhasilan pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Berdasarkan statistik, kadar pengangguran di Malaysia adalah di paras 3.9 peratus atau sekitar 610,000 orang pada bulan Mac 2020.

Selain itu, unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia pada 14 Mei 2020 menunjukkan kadar pengangguran dijangka akan terus meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 orang penganggur untuk keseluruhan tahun 2020.

Berdasarkan dokumen yang dinyatakan di dalam PENJANA, Program Insentif Pengambilan Pekerja telah diperuntukkan berjumlah RM1.5 bilion. Ia adalah bagi menggalakkan pengambilan pekerja oleh majikan untuk memberi pekerjaan kepada golongan penganggur dan belia.

Selain itu, terdapat juga beberapa inisiatif lain termasuklah program latihan dan penempatan, program peningkatan kemahiran (upskilling) di dalam industri dan lain-lain yang berkaitan untuk memastikan rakyat mendapat pendapatan.

Walaubagaimanapun, ABIM berpandangan program-program untuk memberi semula pekerjaan buat rakyat yang telah diberhentikan kerja ini harus mempunyai tempoh sasaran keberhasilan yang jelas dan tepat, dalam masa sama tempoh sasaran kejayaannya harus selari dengan inisiatif meringankan bebanan komitmen rakyat termasuk tempoh moratorium.

Ini penting kerana ABIM merasakan waktu yang amat sesuai untuk ditamatkan tempoh moratorium adalah selepas ekonomi rakyat dapat diberdayakan sebaiknya berdasarkan petunjuk dari hasil perancangan pakej-pakej ekonomi yang dicadangkan kerajaan.

Dalam pada itu, ABIM juga menyarankan agar pihak kerajaan melanjutkan insentif lain yang turut penting seperti subsidi upah kepada majikan oleh Perkeso hingga Disember tahun ini untuk memastikan majikan dapat meneruskan penggajian pekerja sedia ada dalam situasi ekonomi yang tidak menentu.

Menerusi pelanjutan inisiatif sebegini, ia dapat membantu kerajaan mencapai garis hala tuju ekonomi semasa khususnya bagi memastikan isu pengangguran dapat dibendung dengan baik seterusnya merancakkan kembali aktiviti ekonomi secara sistematik apabila rakyat beroleh pendapatan.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ adalah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Sumber:- Malaysia Kini. 

Read 17 times
Rate this item
(0 votes)
ABIM Terus Agih Sumbangan Kepada Rakyat Malaysia Yang Memerlukan.

 

 

 

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada setiap lapisan rakyat Malaysia yang prihatin di atas sumbangan menjayakan Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) sempena Ramadan 1441H (tahun 2020) yang lalu. 

KSSB merujuk kepada simbolik sekampit beras menggambarkan keperluan makanan asasi yang perlu ada sekurang-kurangnya menampung kehidupan asas khususnya dalam kalangan mereka memerlukan.

Read 28 times
Rate this item
(0 votes)
Ada Orang, Umurnya Pendek, Tapi Dakwahnya Panjang:- Dr. Norlaily Mohd Saiden.

 

 

“Ada orang, umurnya pendek, tapi dakwahnya panjang.” – Dr. Norlaily Mohd Saiden, Ogos 2018.

Dengan rasa penuh dukacita, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memaklumkan bahawa Dr. Norlaily Mohd Saiden, isteri kepada mantan Naib Presiden ABIM, Ustaz Hasri Harun (UIAM-IKRHS 2000) telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 9:15 pagi pada 25 Jun 2020 di kediaman beliau di Taman Melati, Sungai Ramal Dalam, Kajang.

Lulusan B.Sc. (UPM), M.Sc. (UPM), dan Ph.D. (Sheffield, United Kingdom) ini mempunyai kepakaran dalam bidang ‘Magnetics Materials’.

Allahyarhamah adalah seorang yang aktif dengan gerakan masyarakat madani meskipun dihambat dengan kesibukan sewaktu menjadi pelajar dan pensyarah.

Antaranya, beliau pernah terlibat sebagai Ahli KBM UPM (1996-1997); Exco Biro Latihan dan Pembangunan PKPIM; Ketua HELWA MISG-ABIM United Kingdom (2009-2010); Ketua HELWA ABIM Bangi (2012-2016); dan AJK Salwa Pusat 2016-2020.

Allahyarhamah sangat disenangi ramai dengan sikapnya yang suka membantu orang lain, selain sering menghulurkan zakat serta infaq kepada Malaysian Life Line for Syria (MLLFS), PKPIM dan ABIM.

Read 44 times
Rate this item
(0 votes)

Taski ABIM Kembali Beroperasi Dalam Norma Baharu. Featured

Jul 06, 2020
Hit: 24
Written by
Read 24 times
Rate this item
(0 votes)

Terkini Dalam Risalah Online Siaran 29 Jun 2020. Featured

Jun 29, 2020
Hit: 44
Written by
Terkini Dalam Risalah Online Siaran 29 Jun 2020.

RISALAH

TERBITAN DALAM-TALIAN
Siaran 29 Jun 2020 (Isnin)
https://risalah.my

Fokus Minggu Ini:

1️⃣ Editorial: GENERASI MUDA DAN KEBERANIAN JIWA oleh Mohammad Fazril Mohd Saleh

2️⃣ Analisis: MELAKAR SENARIO MASA HADAPAN DUNIA ISLAM PASCA COVID-19 oleh Dr Zulkifli Hasan
https://risalah.my/…/melakar-senario-masa-hadapan-dunia-is…/

3️⃣ Analisis: KEMELUT KEWANGAN ASIA 1997: SATU RENUNGAN oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim

4️⃣ Fikrah: JANJI ALLAH KEPADA KAUM MUKMININ: KEMENANGAN BERSYARAT oleh Dato’ Dr. Siddiq Fadzil

5️⃣ Fikrah: FIQH KEBERSAMAAN DALAM TIMBANGAN FIQH AL-MIZAN oleh Mohamad Raimi Ab. Rahim

6️⃣ Tajdid: AL-IMAN AL-AKBAR SHAYKH MAHMUD SHALTUT (1893-1936): ULAMA’ KEBANGGAAN AL-AZHAR oleh: Dr. Mohamad Kamil Ab Majid.

Layari https://risalah.my.

"Risalah" merupakan majalah terbitan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang memaparkan wacana pemikiran dan fikrah gerakan Islam, analisis isu semasa dalam dan luar negara, perbincangan hal ehwal dunia Islam, pelaporan kegiatan gerakan Islam Malaysia, dan perbahasan hal-hal seputar intelektualisme, tarbiyah, aktivisme dan dakwah.

Kini, "Risalah" muncul dalam edisi dalam-talian https://risalah.my.

*Mesej ini terbuka untuk sebaran awam

Sidang Redaksi RISALAH
editorial[at]risalah.my

#ABIMdiHatiku

Read 44 times
Rate this item
(0 votes)
Page 1 of 101
DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd