Sinar Ramadhan 1438H

ABIM Kecam Mansuh Status Istimewa Kashmir Featured

Aug 19, 2019
Hit: 448
Written by
ABIM Kecam Mansuh Status Istimewa Kashmir

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam pemansuhan Perkara 370 Perlembagaan India baru-baru ini yang memansuhkan status istimewa Kashmir.

Hal ini nyata bertentangan dengan Resolusi-resolusi #122 (24hb Januari 1957); #123 (21hb Februari 1957); dan #126 (2hb Disember 1957) Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menegah sebarang tindakan unilateral untuk mengubah status Kashmir.

Sesungguhnya, ABIM menyatakan bahawa pemansuhan itu adalah tidak sah dan merupakan pengkhianatan kepada rakyat Kashmir. ABIM mengikuti dengan rapat konflik yang semakin kritikal di Kashmir.

Kerajaan India telah mengisytiharkan perintah kurungan, melarang sebarang perhimpunan awam serta mengenakan tahanan rumah ke atas para pimpinan Kashmir. Institusi-institusi pendidikan telah ditutup, tatkala talian Internet dan telefon diputuskan. Tembok penghadang telah dibina di kesemua pintu masuk dan keluar di Srinagar dan bandar-bandar lain.

ABIM menggesa kepada Kerajaan India untuk mengembalikan perkhidmatan talian telefon dan internet yang digantung, tatkala ramai penduduk Kashmir dinafikan akses kepada bekalan makanan dan ubatan yang mencukupi. Krisis kemanusiaan semakin memuncak, rentetan pelbagai siri penindasan yang telah berlaku di kedua-dua kawasan ini, tatkala ramai yang menjadi pelarian untuk mencari perlindungan di seluruh dunia.

Tentera India telah mula menguasai Kashmir sejak 1947, dan dilaporkan bahawa 900,000 tentera India kini telah ditempatkan di wilayah tersebut yang mempunyai populasi seramai 14 juta orang. Hal ini menjadikan wilayah bergolak tersebut sebagai zon yang diduduki paling ramai tentera di dunia.

ABIM menegaskan bahawa sekiranya ketidakstabilan berterusan dan lebih lama PBB serta semua negara-negara Islam di dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak bertegas dalam isu Kashmir, krisis ini akan menjadi lebih bahaya dan berlarutan, khususnya berkaitan ketegangan antara India dan Pakistan.

Sesungguhnya, krisis ini menuntut tindakan diplomasi yang segera bagi mengambil langkah-langkah sewajarnya sebelum ia menjadi lebih parah. Tindakan tegas dan proaktif perlu diambil, dan ia perlu dimulakan sekarang – tanpa perlu berlengah-lengah lagi.

Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden ABIM.

Read 448 times
Rate this item
(0 votes)

Empat Tips Aidil Adha Yang Lestari Featured

Aug 10, 2019
Hit: 495
Written by
Empat Tips Aidil Adha Yang Lestari

Bulan Zulhijjah amat istimewa untuk umat Islam. Ada di antara mereka yang terpilih menjadi tetamu Allah bagi menunaikan rukun Islam kelima iaitu Haji di Baitullah. Mereka ini terpilih menyertai umat Islam daripada seluruh pelosok dunia yang sedang berhimpun di Tanah Suci Mekah. Kehadiran mereka terbangun dari kisah pengorbanan, keikhlasan dan kesabaran keluarga besar Nabi Ibrahim.

Ini pasti menjadi inspirasi kepada setiap umat Islam dalam menunaikan ibadah haji mahupun ibadah korban setiap tahun. Kedua-dua ibadah haji dan korban ini menjadi medan membina ketakwaan dan kepatuhan umat Islam kepada Allah. Keikhlasan dan ketakwaan mempunyai hubungan terus dengan Allah tanpa dapat dinilai oleh manusia.

Justeru setiap umat Islam perlu sedar bahawa ajaran Islam sentiasa bertujuan memberi kebaikan kepada umatnya dan setiap pengorbanan pasti diganjari Allah dengan kebaikan khususnya di alam akhirat yang kekal abadi.

Hakikatnya setiap pengorbanan pasti berbaloi kerana ia adalah sebahagian dari tugas dan tanggungjawab umat Islam sebagai hamba kepada Allah dan khalifah di muka bumi. Dalam keghairahan umat Islam meraih ketakwaan kepada Allah dan melahirkan rasa syukur sesama manusia, kita harus sentiasa ingat bahawa antara amal ibadah yang dituntut kepada umat Islam seluruhnya ialah memastikan kemakmuran di atas muka bumi.

Read 495 times
Rate this item
(0 votes)
Menghayati Perjuangan dan Pengorbanan Kekasih Allah Nabi Ibrahim 'Alaihissalam.

Gambar:-Cahaya Tauhid Di Langit Urfa.

Oleh:-Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden ABIM.

Kita sering mendengar kisah pengorbanan Nabi Ibrahim ‘Khalil al Allah’ dan anaknya Nabi Ismail a.s saban tahun sewaktu musim Hari Raya ‘Eidul Adha. Sesunguhnya semangat pengorbanan Nabi Ibrahim meninggalkan kesan yang amat mendalam dan memberikan inspirasi keimanan yang kekal abadi dalam coretan sejarah umat Islam.

Selayaknya martabat baginda diangkat di sisi Allah SWT dan dianugerahkan gelaran rasul Ulul ‘Azmi lantaran kejayaan menempuh ujian-ujian berat keimanan sepanjang kehidupannya menyampaikan risalah nubuwwah. Sewajarnya umat Islam yang setiap hari menyebut nama baginda dalam solat menghayati bukan sahaja kisah agung pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail dengan penuh keinsafan, bahkan mempelajari seluruh dimensi dan sejarah hidupnya yang sarat dengan perjuangan.

Sejauh manakah kita mengetahui babak-babak penting perjuangan baginda sebelum tiba di bumi tandus Makkah membawa bersama-samanya Siti Hajar dan Ismail? Di manakah beliau dilahirkan dan dibesarkan bersama ayahandanya Azar, lantas memulakan misinya membanteras kejahilan dan kekufuran kaumnya menyembah berhala-berhala yang tidak berdaya itu? Masih ingatkah kita kisah yang diceritakan oleh ustaz ketika sekolah rendah dahulu tentang perjuangan Nabi Ibrahim menentang Raja Namrud yang zalim itu? Apakah kesudahannya?

Barangkali masanya sudah tiba , selari dengan semangat pengobanan Eidul Adha yang masih membara ini untuk kita kembali menggali perjalanan hidup dan sejarah perjuangan baginda, yang antara lain dinukilkan oleh Ibn Kathir dalam karya agungnya ‘al Bidayah wan Nihayah’. Bacalah kisah baginda dengan penuh penghayatan dan kutiplah segala hikmah yang ditemui di dalam episod-episod kehidupan baginda yang seluruh dan seutuhnya dipertaruhkan semata-mata demi Allah SWT, tidak untuk yang lain, hatta untuk anak yang tercinta!

Bagi yang ingin pergi lebih jauh dalam mengambil ‘ibrah (pengajaran) dari perjuangannya, jejakilah tinggalan-tinggalan sejarah yang masih berbekas hatta ke saat dan detik ini di pelbagai lokasi bersejarah dunia Islam. Benarlah pesan para ‘alim dan ahli hikmah bahawa dengan menziarahi dan melihat sendiri tinggalan sejarah itu, kesan spiritualnya jauh lebih mendalam dan kekal membekas. Ayuh belajarlah dari Nabi Ibrahim a.s erti pengorbanan, perjuangan, kesabaran, keberanian dan pengabdian setulusnya kepada Allah SWT.

Read 812 times
Rate this item
(0 votes)
Aidil Adha: Tingkatkan Kefahaman Di Sebalik Ibadah Kurban, Perkukuh Jati Diri Umat Islam.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud :

Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai keredhaan Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah Telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Surah al-Hajj : 37)

Aidil Adha kembali lagi. Menyorot sejarah perjuangan Nabi Allah Ibrahim AS, maka kita akan menyaksikan suatu kisah pengorbanan yang sangat besar dalam memahami naluri seorang ayah yang sanggup mengorbankan anaknya yang tercinta demi melaksanakan perintah daripada Sang Pencipta. Ujian ketaatan sebegitu pastinya sukar difahami dengan pandangan zahir dan tidak akan mampu dilaksanakan melainkan dengan ketaatan dan ketaqwaan yang sempurna.

Jawapan Nabi Ismail yang mendokong perintah Allah juga sukar digambarkan dan jelas menunjukkan tiada apa yang ingin dikejar dalam kehidupan di dunia ini melainkan keredhaan Allah. Merenung kepada sirah yang dirakamkan oleh Allah dalam kitabNya ini,, marilah sama-sama kita bermuhasabah bahawa setiap perjuangan memerlukan pengorbanan yang setimpal dalam mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Nilai kepatuhan dan jati diri yang tinggi kepada penciptaNya harus diberi makna besar dalam konteks sebuah masyarakat moden hari ini. Perayaan Eidul Adha yang dirayakan pada hari ini janganlah sekadar menjadi peristiwa kecil dalam konteks kefahaman diri umat. Sebaliknya biarlah ianya memberi kesan dalam jiwa nurani umat membantuk kefahaman iman kepada tuhannya dan kesejahteraan manusiawi yang terhasil daripada Aqidah yang murni.

Justeru, intipati yang dapat diambil daripada Sambutan Eidil Adha ini adalah sifat pengorbanan yang perlu wujud dan dibentuk sebaiknya dalam jiwa umat Islam demi mengembalikan jati diri dan integriti melawan musuh-musuh Allah SWT. Sesungguhnya sejarah telah membuktikan bahawa antara punca kejatuhan pemerintahan Islam suatu ketika dahulu adalah daripada lenyapnya sifat pengorbanan dan jati diri umat Islam dalam kehidupan umat Islam.

Bersempena Eidul Adha pada tahun ini kami dari Angkatan Belia Islam Malaysia ingin mengucapkan selamat menyambut perayaan besar ini dengan kefahaman dan kesedaran yang tinggi. Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

Read 466 times
Rate this item
(0 votes)
Lima Gesaan BERSIH, ABIM, GBM, Dan Pakatan Harapan.

Sumber Gambar: Akhbar Sinar Harian.

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil langkah yang jelas dan tetap untuk membawa kestabilan politik dalam negara ini dengan meletakkan pakej peralihan yang jelas berdasarkan perjanjian Pakatan Harapan pra-PRU14.

Pergolakan PKR, salah satu parti komponen yang utama dalam gabungan PH, sedang merisaukan rakyat dan komuniti antarabangsa kerana berpotensi untuk memecahbelahkan gabungan tersebut serta menyebabkan politik negara ini dalam keadaan kucar-kacir.

Kebimbangan kami sebagai pertubuhan masyarakat sivil yang telah dan sedang mendesak reformasi institusi dan politik di negara ini adalah agenda pembaikan kerajaan PH akan terhenti, atau lebih parah, apa yang sedang dicapai kini akan terundur kepada sistem yang lama sekiranya kestabilan politik tidak dipulihkan.

Sebagai kumpulan masyarakat sivil yang tidak partisan, kerisauan kami hanya tertumpu kepada kestabilan politik dan kebertanggungjawaban dalam penggal ke-14 parlimen tanpa ada sebarang kecenderungan untuk PRU15. Maka, kami ingin mencadangkan langkah-langkah konkrit berikut yang perlu diambil bagi mengembalikan kestabilan politik.

1. PELAN PERALIHAN KUASA UNTUK PERDANA MENTERI

Kami menggesa agar Tun Mahathir menetapkan satu tarikh antara setahun akan datang sehingga 9 Mei 2021, untuk menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selari dengan perjanjian pra-PRU14 antara gabungan parti komponen PH. Walaupun tidak ada rangka masa yang dinyatakan dalam perjanjian itu, Tun dalam pelbagai majlis sering mengatakan tempoh peralihan akan mengambil masa 2 ke 3 tahun selepas PH membentuk kerajaan.

Bagi memastikan kelancaran peralihan, DSAI perlu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri enam bulan sebelum tarikh yang ditetapkan. Dengan pelan peralihan yang jelas, ianya akan memadamkan desas-desus dan teori-teori konspirasi yang dibuat oleh mereka yang ingin mendapat laba daripada ketidakstabilan dan terpecahnya gabungan PH.

2. HADKAN TEMPOH PM KEPADA DUA PENGGAL

Ini adalah janji manifesto yang masih belum dipenuhi dan kami menggesa Tun untuk mendesak pindaan undang-undang yang berkaitan bagi memenuhi janji ini sebelum beliau meletak jawatan sebagai PM.

Rasional untuk menetapkan had penggal adalah supaya Perdana Menteri akan datang tidak akan memegang kuasa terlalu lama, yang bukan sahaja ada risiko salah guna kuasa dan rasuah, malah akan menyebabkan kekecewaan serta timbul perasaan antagonis oleh pihak yang berminat untuk memegang jawatan perdana tersebut.

Melainkan penggal pertama yang tidak dimulakan dengan parlimen yang baru kurang daripada dua tahun, penggal PM perlu dimulakan daripada masa pelantikan dan bukannya pada permulaan penggal Parlimen yang baru bagi memastikan penggal maksimum yang dibenarkan dikekalkan kepada dua penggal.

3. PENGURANGAN KUASA PERDANA MENTERI

Manifesto PH telah menjanjikan pengurangan kuasa Eksekutif pada tangan Perdana Menteri. Penyalahgunaan kuasa oleh mantan Perdana Menteri sebelum ini menjadi fakta bahawa kuasa yang terlalu banyak tertumpu pada pejabat Perdana Menteri.

Melainkan undang-undang dipinda dan parlimen diperkasa semula, terutamanya proses pelantikan utama kerajaan, tidak ada jaminan PM selepas ini tidak akan menggunakan kuasa yang ada sekarang untuk berpaut kepada jawatannya dengan menaungi kesetiaan pemimpin dan pengundi, mengakibatkan wajah buruk kleptokrasi terjelma kembali.

Struktur kuasa yang lebih serata dengan mengehadkan penggal PM akan mewujudkan keamanan dan kestabilan yang lebih mudah di antara ahli politik yang bercita-cita tinggi dengan mewujudkan peluang untuk kemajuan dalam kerjaya politik.

4. SEGERAKAN REFORMASI INSTITUSI

Sejumlah janji manifesto yang dijanjikan yang perlu disegerakan pelaksanaannya tanpa bertangguh lagi adalah manifesto untuk mengukuhkan institusi awam utama seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Jabatan Peguam Negara.

Pindaan perlembagaan diperlukan untuk penginstitusian institusi-institusi ini dengan bebas dan perkasa agar mereka dapat menjadi badan semak dan imbang yang berkesan kepada sistem kerajaan kita. Akta drakonian yang melanggar hak asasi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan wajib dimansuhkan segera serta undang-undang melawan perkauman dan bias gender juga perlu disemak semula untuk dipinda atau digubal di mana perlu.

5. UBAH SISTEM PILIHAN RAYA YANG LEBIH INKLUSIF

Sistem pilihan raya kita secara FPTP digandingkan dengan masyarakat majmuk menggalakkan mentaliti menang dapat semua kalah dapat arang dalam kalangan ahli politik kita telah menghasilkan perbahasan politik yang ekstrem dan memecahbelahkan.

Kami menggesa kerajaan dan semua pihak untuk memulakan dialog nasional bagi membincangkan untuk kita bergerak keluar daripada sistem FPTP dan menuju ke sistem kerusi Perwakilan Berkadaran berdasarkan Senarai-Parti(List-PR). Ini akan memastikan perwakilan yang lebih majmuk di dalam parlimen dan menghapuskan keperluan mereka untuk memainkan isu perkauman untuk menggerakkan pengundi.

Kerusi Senarai Perwakilan Berkadaran juga dapat mengatasi perbalahan intra-gabungan untuk peruntukan kawasan pilihan raya yang biasa terjadi dengan sistem FPTP dengan membenarkan parti-parti gabungan bertanding secara terbuka dan secara sihat antara satu sama lain melalui undi parti, berbanding sebelum ini dengan cara sabotaj dan perancangan sulit.

Senarai Perwakilan Berkadaran juga bukan sahaja dapat memberikan kuota kepada wanita dan kumpulan terpinggir, mandat kepada parti secara langsung juga dapat mengukuhkan parti politik dan menyukarkan untuk lompat parti. Ini adalah selari dengan aspirasi PH untuk membina negara yang lebih inklusif, progresif dan makmur.

Kami menggesa pimpinan kerajaan PH -Tun Dr Mahathir, Majlis Presiden PH dan Warisan untuk mengambil tindakan tanpa lengah lagi bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan ini. Mesej yang jelas mesti dihantar kepada semua yang kebajikan negara dan agenda reformasi mendahului kepentingan peribadi dan parti.

PH hanya mempunyai kurang empat tahun dari tempoh sepenggal untuk mengotakan janji reformasi dan kemakmuran kepada pertiwi ini. Pulihkan kestabilan politik dan pentadbiran sekarang untuk tempoh penggal yang berbaki.

Dikeluarkan bersama oleh: - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) - Gabungan Bertindak Malaysia (GBM)

Read 500 times
Rate this item
(0 votes)
Polemik Khat: Tingkatkan Martabat Tulisan Jawi Dalam Sistem Pendidikan Negara

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk isu yang mendakwa pembelajaran Jawi diajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). Merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KSSR (Semakan 2017) Tahun 4, antara kemahiran bahasa yang perlu dipelajari murid pada tahap II adalah daripada aspek bahasa, yang merujuk kepada keindahan, kehalusan dan kebahasaan dalam Bahasa Melayu.

Murid diperkenalkan dengan penulisan seni khat sebagai pendedahan asas melalui pembelajaran simpulan bahasa. 'Khat' merupakan suatu seni tulisan tangan yang menggunakan alat tulis khas. Seni penulisan khat juga boleh dianggap sebagai seni penulisan tangan yang indah, atau kaligrafi.

Murid hanya akan mempelajari untuk mengenalpasti dan menyebut huruf tunggal yang ditulis mengikut seni khat dalam simpulan bahasa seterusnya mempersembahkannya dalam bentuk tulisan. Seni penulisan khat adalah merupakan suatu disiplin ilmu yang berbeza dengan disiplin pembelajaran jawi.

Daripada aspek pengajaran, murid hanya perlu tekap, tiru dan tulis simpulan bahasa yang disediakan secara pendekatan didik hibur. Nilai kesabaran dan ketelitian juga dapat dipupuk melalui pembelajaran ini. Standard Kandungan ini juga dimaklumkan tidak diuji dalam Peperiksaan. ABIM berpandangan bahawa kemahiran penulisan jawi perlu diangkat sebagai kemahiran penting daripada legasi warisan bangsa sejak berzaman, memandangkam ia telah digunakan sejak 700 tahun yang lalu.

ABIM menegaskan bahawa keunikan Bahasa Melayu juga disebabkan penulisannya boleh ditulis dalam huruf rumi dan huruf jawi. Justeru keindahan bahasanya boleh dilakarkan sama ada melalui seni penulisan berangkai mahupun penulisan khat. Pada waktu ini, tulisan Jawi hanya diajarkan dalam Pendidikan Islam, justeru dilihat hanya eksklusif kepada orang beragama Islam dan penggunaannya juga seolah-olah terhad dalam ruang lingkup pendidikan Islam sahaja.

Justeru, ABIM bersetuju dengan langkah kecil usaha menerapkan nilai-nilai warisan Bahasa Melayu serta identiti nasional yang telah lama ditinggalkan sebelum ini. Selain itu, fungsi dan peranan sedia ada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memartabatkan warisan penulisan jawi perlu diperkasakan lagi dengan lebih agresif agar tulisan jawi menjadi lebih signifikan dalam kehidupan masyarakat pada semua peringkat.

Usaha ini memerlukan kesungguhan berterusan kerajaan khususnya, serta semua pihak secara amnya, kerana apa yang diterapkan bukannya untuk memaksa pelajar memeluk Islam, sebaliknya mempelajari akar bahasa kebangsaan serta jati diri tanah air yang kita semua cintai.

*Mohd Raimi Ab Rahim ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 481 times
Rate this item
(0 votes)
Tahniah! Maahad Al-Ummah Naib Juara Kejohanan Sofbol Kebangsaan 2019

Alhamdulillah, anggota pasukan sofbol atau bola lisut SABK Maahad Al-Ummah, Chemor, Perak telah muncul selaku Naib Johan Peringkat Kebangsaan (Kategori Menengah – Lelaki Bawah 18 Tahun), dalam perlawanan membabitkan Perak dan Pahang. Kejohanan Sofbol Peringkat Kebangsaan 2019 anjuran Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) ini berlangsung pada 1hb hingga 7hb Ogos 2019 di IPG Kampus Perlis. Adik Lutfil dan Adik Nor Ikmal (4 Farabi) telah terpilih mewakili Malaysia. Tahniah diucapkan!

Read 460 times
Rate this item
(0 votes)
Pelajar Seri ABIM Alor Setar Wakili Malaysia Ke Barcelona, Sepanyol.

Alhamdulillah, tahniah dan syabas kepada adik Amriel Nu'man Bin Kamarul, di atas pencapaian terpilih sebagai antara 8 orang pemain yang akan mewakili Malaysia ke Milo Champions Cup 2019, pada 28hb Julai hingga 8hb Ogos 2019 di Barcelona, Sepanyol.

Read 700 times
Rate this item
(0 votes)
Keanggunan Sikap dan Bicara Pendidik Jadi Inspirasi Kepada Masyarakat

Imej diri adalah refleksi keseluruhan diri, pesona luar dan dalam seseorang individu. Ia merangkumi tiga perkara iaitu penampilan, perbuatan dan perhubungan komunikasi. Pendidik merupakan sosok penting dalam sesebuah institusi pendidikan. Imej pendidik yang positif menghantar isyarat lebih dahulu sebelum isi kandungan percakapan. Ini bertepatan dengan kajian Profesor Albert Merahbian yang menyatakan mesej diri dinyatakan dengan 55 peratus mewakili visual, 38 peratus mewakili ton suara dan selebihnya tujuh peratus isi kandungan perbualan. Justeru, seorang pendidik perlu membina imej yang menonjolkan keanggunan sikap dan komunikasi berpengaruh yang boleh memberi inspirasi kepada anak didik dan ahli masyarakat. Maka, atas kesedaran kepentingan imej seorang pendidik yang berkesan, maka Hal Ehwal Wanita (HELWA) ABIM Negeri Sembilan dengan kerjasama Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM) dan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan (FTK) Kolej UNITI Port Dickson telah mengundang panel jemputan Puan Muna ‘Izzah Fadzil, perunding imej Seanggun Bidadari untuk mengisi Wacana Ilmiah Siri 5.0 berjudul ‘Keanggunan Sikap dan Bicara Seorang Pendidik’ melibatkan 32 orang pensyarah, pihak pengurusan dan kaunselor Kolej UNITI Port Dickson. Puan Muna berkongsi pelbagai tip yang praktikal bagi melakukan transformasi imej agar kelihatan berpengaruh dan disegani. Panel juga berkongsikan tip bagaimana membina sikap positif dan untuk disayangi anak didik agar proses pendidikan berlangsung dengan lebih berkesan. Selain imej luaran, beliau juga memberikan input berguna dalam komunikasi verbal seperti penggunaan suara, kandungan, ton dan jeda dalam berkata- kata. Penggunaan bahasa Melayu tinggi yang digunakan pendidik akan menyerlahkan kewibawaan dan pengaruh pendidik kepada pelajar. Disamping itu, seorang pendidik perlu mengimbangi empat jenis komunikasi iaitu kawalan, promosi, analisa dan sokongan agar mesej yang disampaikan memberi pengaruh kepada penerima mesej. Apabila seorang pendidik menguasai ilmu komunikasi berpengaruh ini, maka guru tidak lagi akan dilabel sebagai ‘kuat membebel’ dan istilah negatif lainnya. Wacana siri 5.0 ini merupakan wacana terakhir bagi semester ini dan diharapkan dapat diteruskan pada tahun- tahun yang mendatang dengan sokongan dan dukungan oleh pelbagai pihak bagi memperkasa institusi pendidikan swasta di Malaysia amnya dan di Port Dickson khususnya.

Read 398 times
Rate this item
(0 votes)

ENGLISH SECTION Featured

Aug 06, 2019
Hit: 428
Written by
Read 428 times
Rate this item
(0 votes)
Page 10 of 103
DMC Firewall is a Joomla Security extension!