Displaying items by tag: anwar ibrahim

Mengenai pembangunan melalui ungkapan Dewan Da’wah “membangun sambil merobohkan” – yang mengesankan. Memacu pertumbuhan ekonomi berlandaskan prinsip etika dan tidak mengorbankan moral. Keghairahan membangunkan gedung megah dan industri tidak harus mengizinkan sebarang bentuk penindasan ke atas pekerja ; dimana saudagar maha kaya mengagihkan upah sekecil mungkin ke atas golongan pekerja. Gejala pemerasan ini dipertahankan elit penguasa atas alasan ekonomi di tahap awal – take off period.

Akibatnya adalah penghijrahan kemiskinan desa ke kota dan kesenjangan membengkak meskipun kadar pertumbuhan segar dan meyakinkan. Demikianlah yang dapat kami rumuskan dari ketajaman renungan dan wewenang pendiri Dewan Da’wah menghebah risalah Islam yang berpaksikan kepada akidah dan akhlak Islamiyah, tetapi menangkak permasalahan semasa.

Setengah abad berlalu, dan keselesaan berda’wah bebas terjamin dalam era demokrasi Indonesia. Tidak dapat dimungkiri bahawa al-wa’yul Islam – kesedaran Islam lebih meluas. Turut serta dalam gerakan da’wah adalah inisiatif dan ikhtiar para du’at baru. Namun bila ditelusuri permasalahan umat secara lebih teliti, kita masih terus bergelut dalam krisis – kefahaman dan ittijahat (aliran) yang rencam.

Kerencaman bukan merupakan masalah, tetapi sikap jumud, tempurung ; bengis , keras dan tidak toleran yang cenderung mengkafirkan kalangan yang tidak sealiran ; pendakwah yang mirip laskar upahan atau yang paling merbahaya, pendamba keganasan – terrorisme.Ulamak semasa menggagaskan pendekatan pengajian Islam agar al-qawaid fiqhiyyah diserasikan dengan maqasid al-syariah.

Dewan Da’wah turut dalam rencana tersebut yang menjadi teras penilitian al-ma’ahad al-‘alami lil fikr Islami – Institut Pemikiran Islam Sedunia ( IIIT). Malah, konsep asas maqasid – din, nafs, nasl, aql dan mal kini diperluaskan bagi mencakup persoalan kebebasan dan keadilan. Syeikh Yusuf al Qardawi dalam Madkhal li Dirasah al Shariah menyarankan konsep yang membatasi kepada individu perlu dikaitkan dengan kehidupan masyarakat dan negara – terangkum isu kebebasan, kesaksamaan dan keadilan dalam konteks kenegaraan dan kemanusiaan sejagat.

Al Raysuni dalam karya utamanya mengenai Iman al- Shatibi mengutarakan ijtihad bersandarkan maqasid. Ikhtiar tersebut dianggap sukar tetapi amat mendesak sekali kerana memberikan kesempatan meneroka skop yang selama ini tertutup. Matlamatnya adalah mengelak kemudaratan dan memelihara kepentingan dan kesejahteraan umat. Arakian, dengan bertolak dari landasan tersebut, penilaian mengenai ikhtiar terdahulu akan lebih mantap.

Saya imbau dua inisiatif yang saya sendiri terlibat secara langsung ; iaitu perbankan dan universiti Islam. Sementara kejayaannya diiktiraf, tetapi ternyata ia tidak lebih dari langkah yang amat terbatas, terutama jika ditinjau dari maqasid shariah. Bank Islam (konsep yang dihadham oleh Dr Muhd Siddik) terjelma sebagai bank conventional tanpa riba.

Maka pengalaman 3, 4 dekad perlu mengupayakannya sebagai alternatif jitu, kerana keterikatan dengan dasar ekonomi kapitalis yang menilai dari sudut keuntungan. Sarjana Nejatullah Siddiqui rencananya ‘The Future of Islamic Economics’ menyesalkan kegagalan institusi kewangan Islam dalam memberi penekanan terhadap masalah kesenjangan dan kemiskinan.

Pada hemat saya, seandainya institusi tersebut tidak menyerlah sebagai institusi wibawa dan terjebak dengan bidang korporat yang jelek ; umat akan bertambah sinis. Akhirnya, institusi berlabelkan Islam, sama ada bank, institusi zakat atau pengendalian Haji akan terjerumus dalam petak curang sepertimana yang dilakar dalam puisi popular Tawfiq Ismail:

“Dinegeriku, sekongkol bisnes dan birokrasi berterus-terang,

Curang susah dicari tandingan

Di negeriku keputusan pengadilan secara agak rahsia dan tidak rahsia dapat ditawar dalam bentuk jual beli….”

Sarjana Havard, Harry Lewis menyanggah budaya universiti, khusus mahasiswa di Universiti Havard kian terhakis hasrat mahasiswa menegak kebenaran, nilai kemanusiaan dan moral. Karya beliau Excellence Without A Soul memperakui kecemerlangan akademik tetapi tanpa jiwa dan hati nurani.

Dengan spontan, sarjana Islam bersorak-surai mengulas dengan mengandaikan Universiti Islam punyai soul walaupun belum cemerlang. Mereka memperdaya diri sendiri jika tidak menerima kenyataan bahawa gedung ilmu harus menyerlah sebagai Centre Of Excellence. Perkiraan kita seharusnya bukan lagi peluang atau kesempatan memperolehi pendidikan tetapi perlu dikaitkan dengan pendidikan bermutu - democratisation of access to quality education.

 

Dan keduanya untuk mendabik dada bahawa universiti Islam punyai soul hanya kerana terdapat kurikulum Islam atau Islamisasi dan integrasi ilmu agak terlalu gampang. Sesungguhnya belum ada penilaian kritis terhadap inisiatif kita ketimbang yang dilakukan Harry Lewis. Kita berbangga dengan inisiatif yang diambil dan kejayaan yang dicapai. Yang saya pertikai dan merasa rimas, adalah tahap keselesaan – culture of contentment.

Cabaran dalam dunia pendidikan adalah untuk menjadikan gedung universiti sebagai pusat kecemerlangan dan ini mungkin berhasil dengan budaya yang dipupuk ke arah itu – itqan fil amal. Dan, bagi mengusung agenda da’wah secara bermakna, adalah dengan penyertaan aktif generasi muda dan wanita. Ikhtiar tambahan dan memperluas jaringan dapat difikirkan.

Pengalaman anak muda bersama Pak Natsir setengah abad lalu yang disinggung diawal bicara mungkin relevan. Anak muda tersebut terpesona kerana Si Bapak tidak berleter panjang; tetapi dengan penuh kasih sayang dan hormat memberi ruang kepada anak muda berbicara dan mendorong agar muncul bersama para ghuraba’ dalam meneruskan usaha da’wah yang berkesan.

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?" (Al fussilat:33)

Wa akhirul kalam, tahniah kami ucapkan kepada pimpinan dan keluarga DDII. Dari kurungan ‘kerawang bekasi’ saya akan bersama mendoakan ke hazrat Allah SWT agar usaha murni memperolehi keberkatan dari Nya. Saya menantikan lapuran dari Azizah mengenai pengalaman bersama keluarga di Jakarta. Jazakallahhu Khairan Kathiran Wassalamualaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh

ANWAR IBRAHIM TEKS UCAPAN DATUK SERI ANWAR IBRAHIM UNTUK REKARNAS 2017 DAN TASYAKUR SETENGAH ABAD DEWAN DAKWAH INDONESIA (DDI) (Dewan Dakwah Indonesia adalah organisasi masyarakat yang di asaskan oleh Bapak Muhammad Natsir yang DSAI kenali sejak memimpin PKPIM dan ABIM ketika zaman mudanya dan hubungan terus kekal hingga sekarang)

Laporan berkaitan Enakmen Jenayah Syariah (Qazaf) yang tidak meliputi kesalahan liwat seperti yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Jamil Khir dan tindakan pendedahan terbuka Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Safee adalah dirujuk.

ABIM berpandangan bahawa kenyataan ini amat mengelirukan masyarakat dan memerlukan penjelasan lanjut tetapi ia juga berlawanan dengan pandangan fuqaha’ khususnya ulama muktabar bermazhab Shafi’i. Pandangan Syarak:

Dalam menakrifkan qazaf Imam Nawawi daripada Mazhab Shafi’i menyatakan bahawa qazaf ialah tuduhan zina (ke atas seseorang) untuk menghinanya.

Manakala Ibn Humam seorang ulama’ dari mazhab Hanafi pula menyatakan bahawa qazaf ialah tuduhan melakukan zina (ke atas seseorang).

Ibn Arafah pula berpandangan bahwa qazaf ialah seseorang mukallaf menuduh orang merdeka, berakhlak baik, Muslim yang baligh atau kanak-kanak melakukan zina atau menafikan keturunannya yang sah. Dari pandangan-pandangan ini dapat kita simpulkan qazaf ialah tuduhan ke atas seseorang yang baik akhlaknya dengan berzina, atau menafikan keturunannya yang sah.

Para ulama’ menyamakan liwat dengan zina antaranya dalam Mazhab Shafi’i. yang menyatakan liwat dikenakan hukuman had (hudud).

Ibn Quddamah daripada Mazhab Hambali pula berpendapat bahawa pesetubuhan dubur adalah sama dengan persetubuhan di faraj iaitu zina. Mazhab Maliki mengikut pendapat al-Dasuqi menyatakan bahawa liwat jenayah zina mengikut syarak dan dikenakan hukuman had ke atasnya.

Hanya Abu Hanifah yang berpandangan bahwa liwat tidak diwajibkan hukuman had ke atas kedua-dua pelaku liwat dan penerimanya, lelaki atau perempuan, sekali pun hukumnya adalah haram. Ini disandarkan kepada hujah bahawa zina haram hukumnya kerana persetubuhan di faraj, tetapi bagi peliwat, yang berlaku bukan zina, ia adalah liwat.

Berdasarkan penjelasan tersebut, majoriti fuqaha’ daripada 4 mazhab berpendapat bahawa liwat adalah sama sahaja dengan zina, kerana perbuatan liwat berlakunya kemasukan kemaluan dan berlakunya kepuasan seperti zina, maka ia sama dengan hukum zina. Tuduhan liwat ke atas seseorang mengikut Imam Malik, Imam Shafi’I dan Imam Ahmad sama dengan tuduhan zina (Qazaf) kerana mereka berpendapat bahawa liwat adalah zina dan peliwat adalah penzina sama ada ia sebagai pelaku atau penerima perlakuan itu, sama ada ia lelaki atau perempuan jika sabit penuduh berniat dalam tuduhannya itu bermaksud yang dituduh melakukan perbuatan Kaum Lut, maka penuduh wajib dikenakan hukuman had, manakala Abu Hanifah berpendapat bahawa tuduhan liwat termasuk dalam hukuman ta’zir kerana beliau berpendapat bahawa liwat bukannya zina, justeru tuduhan liwat tidak dikira sebagai tuduhan zina.

Untuk penerangan lanjut, ABIM telah pun menerbitkan buku bertajuk: “Bahaya Qazaf” sebagai panduan untuk masyarakat memahami isu ini. Selain itu ‘Resolusi Klinik Hukum Syarak Dan Guaman Syarie, Universiti Kebangsaan Malaysia, Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM yang dikeluarkan pada 18 Ogos 2008’ boleh juga di rujuk yang membawa maksud sama seperti dinyatakan di atas. Oleh itu sebarang pernyataan di luar mahkamah yang bermaksud bukan untuk perbicaraan maka ia adalah qazaf, jika tidak disertakan dengan 4 orang saksi.

Tambahan pula ia dilakukan oleh sebelah pihak sahaja maka ia dengan jelas bermatlamatkan mengaibkan seseorang dan ini merupakan perbuatan yang dicela oleh agama Islam. Pindaan Enakmen Jenayah Syariah Oleh itu, ABIM berpandangan Enakmen Jenayah Syariah yang hanya menyatakan perbuatan zina boleh diintepretasikan bahawa ianya termasuk jenayah liwat berdasarkan pandangan fuqaha di atas walaupun tidak secara jelas dimasukkan dalam peruntukan undang-undang berkenaan. Hal ini perlu ditentukan oleh Mahkamah Syariah dan bukannya pertikaian pelbagai pihak di media. Justeru sebagai tindakan proaktif mengukuhkan peruntukan tersebut, ABIM menyarankan agar definisi zina di bawah Enakmen Jenayah Syariah dan Akta Jenayah Syariah mesti dipinda bagi memenuhi dan menepati maksud hukum syarak.

Oleh yang demikian ABIM mencacadangkan: “Bahagian TAFSIRAN untuk maksud “ZINA” dimasukkan peruntukan termasuk liwat.” Peruntukan undang-undang jenayah tersebut harus dipinda agar ia benar-benar menepati pandangan para fuqaha’ bagi mendaulatkan hukum Islam ke martabat yang selayaknya dengan memasukkan tuduhan liwat sebagai sebahagian daripada qazaf. Tambahan pula dengan semangat yang berkobar-kobar yang ditunjukkan oleh kerajaan terhadap pelaksanaan Hukum Hudud maka sudah tiba masanya untuk pindaan bagi setiap peruntukan dalam perundangan syariah di Malaysia bagi menepati hakikat kewujudannya.

Perbuatan Mengaibkan Moral dan Penceritaan Perilaku Seks Secara Terbuka Berdasarkan kepada rujukan dalam Al-Quran dan pandangan ulama muktabar Islam bahkan termasuk semua agama lain, perbuatan mededahkan perilaku seks, sumbang di khalayak terbuka adalah suatu perbuatan yang tidak bermoral bercanggah dengan nilai Islam dan moral masyarakat. ABIM berpandangan wujud falsafah besar dalam definasi ayat Qazaf dan ayat-ayat lain dalam al-Quran yang mencegah kita berbuat demikian kerana mengaibkan individu dan keluarga. Justeru ABIM berpandangan majlis penerangan Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Safee yang menceritakan perilaku seks kes DSAI secara terperinci adalah amat tidak beretika dari sudut profesional guaman dan wujud elemen qazaf atas tindakannya itu.

Oleh itu laporan qazaf yang telah dibuat ke atasnya harus disiasat dengan teliti dan diambil tindakan oleh pihak berwajib. Malah bagi menjaga kesucian Islam pihak berkuasa agama di negeri-negeri sewajarnya tidak membenarkan perbuatan jenayah qazaf sedemikian berleluasa. Seruan ABIM ini tidak terhad kepada sekitar kes DSAI sahaja malah untuk mana-mana pihak sekalipun merentas parti politik; perbuatan mendedahan seksual mana-mana tokoh-tokoh politik atau individu lain yang berlaku sebelum ini juga adalah tidak bermoral dan boleh membawa kepada jenayah qazaf. ‪

AMIDI ABDUL MANAN Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Our website is protected by DMC Firewall!