Displaying items by tag: mohamad raimi ab rahim

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada hasrat YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengembalikan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

ABIM berpendirian bahawa cadangan ini merupakan satu langkah ke belakang dan merupakan suatu halangan dalam melahirkan masyarakat saintifik, berilmu dan mahir dalam penguasaan bahasa Inggeris.

Dasar PPSMI sebelum ini hanya memberikan manfaat kepada tidak lebih 8% daripada keseluruhan murid di negara ini yang datangnya daripada kumpulan murid yang telah pun menguasai bahasa inggeris, dan telah menyebabkan majoriti murid sederhana dan lemah daripada kelompok bandar dan luar bandar berdepan dua isu besar yang berganda, iaitu gagal menguasai konsep asas Sains dan Matematik dan pada masa sama tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Ini jelas apabila data pencapaian UPSR 2008 telah memangsakan 170,000 murid yang gagal kedua-dua mata pelajaran sains dan matematik. Kemelut defisit ilmu asas yang dialami murid berterusan sehingga ke peringkat menengah atas, apabila kemasukan murid ke bidang Sains semakin menurun secara konsisten sehingga ke hari ini.

Generasi PPSMI yang menceburi bidang sains menurun daripada 29.35% pada 2012, menurun kepada 28.90% pada 2013, turun lagi kepada 28.69% pada 2014, dan terus menurun kepada 23.15% dan 23.19% pada 2016 dan 2017. Data ini sangat membimbangkan kerana pada waktu ini, dalam era revolusi perindustrian keempat, sumber manusia yang diperlukan dalam bidang STEM sangat kritikal, namun semakin ramai murid tidak mahu dan tidak mampu untuk meneruskan pengajian dalam bidang ini.

Selain itu, secara keseluruhan, hanya 21% sahaja sekolah menengah di seluruh negara yang mencapai nisbah dasar 60:40. yang mana pada ketika ini lebih menyukarkan untuk negara menjadi masyarakat saintifik. Lebih memburukkan keadaan, setelah tamat persekolahan menengah di tingkatan 5, hanya 40% daripada bilangan murid aliran STEM ini yang meneruskan pengajian di peringkat tinggi (diploma, atau ijazah pertama) dalam bidang sains dan berkaitan dengannya, termasuk program dalam bidang teknologi dan vokasional.  Laporan Akademi Sains Malaysia menunjukkan hanya 20% sahaja yang lulus dan bergraduasi.

Pencapaian literasi sains dan matematik, serta literasi bacaan murid Malaysia melalui pentaksiran antarabangsa 'Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS)' dan 'Programme for International Students' Assessment (PISA)' pada peringkat antarabangsa juga menjunam secara konsisten bermula kitaran 2003 (TIMSS) dan 2012 (PISA), iaitu ketika generasi PPSMI yang mendudukinya.

Sedangkan, pada ketika ini, negara yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengajaran sains dan matematik meningkat, konsisten dan cemerlang seperti Korea Selatan, Vietnam, Hong Kong, Finland, Jepun dan sebagainya. Sebagai rekod, Peristiwa Keranda 152 sepanjang sejarah telah berlaku pada 3hb Mac 1967; 7hb Mac 2009 serta 26hb Mac 2016, melibatkan penyertaan para pemimpin, aktivis serta rakyat marhaen, termasuk daripada ABIM sendiri.

PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012, selepas diluluskan pada Julai 2002. Namun, kemudian ia muncul dengan nama baru iaitu Program Dwi bahasa atau ‘Dual Language Program’ (DLP - penjenamaan semula PPSMI). Belajar dan fasihlah dengan apa jua bahasa yang kita mahu dan minati demi kemajuan anak bangsa. Pertingkatkanlah penguasaan bahasa Inggeris dengan memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran subjek bahasa Inggeris.

Namun, bukan dengan menidakkan hak murid untuk lebih faham mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda mereka. ABIM menggesa kerajaan mengambil iktibar dan tidak melakukan kesilapan yang merugikan masa hadapan anak-anak, serta masa hadapan negara.

Sejelasnya, polisi yang berkaitan pendidikan perlu berasaskan data empirikal; bukan berasaskan persepsi. Bahasa Jiwa Bangsa!

MOHAMAD RAIMI AB RAHIM Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) --

Pembentangan Buku "Kebangunan Islam Antara Tentangan dan Ekstrimisme" Karya Sheikh Dr. Yusof Al-Qaradawi Dikupas oleh Tn Hj Mohamad Raimi Abd Rahim Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia / Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM)

Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-59 tanah air tercinta, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengucapkan selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara buat seluruh saudara senegara. Tarikh bersejarah 31 Ogos 1957 adalah detik penting untuk sama-sama kita syukuri dan hayati.

Sesungguhnya harga kemerdekaan amat mahal tidak ternilai. Tidak sedikit darah dan air mata perjuangan mengalir sepanjang empat abad perjuangan pembebasan tanah air ini, yang dicatat sejarah seawal abad ke-16 dengan Perang Melaka - Portugis. Dengan semangat keinsafan yang penuh kesyukuran ini, marilah kita bermuhasabah dan pertanyakan dengan ikhlas: Sejauh manakah kita - sebagai warganegara - telah setulennya melaksanakan amanah dan tanggungjawab mengisi kemerdekaan dan pembinaan negara yang bebas lagi berdaulat? Kemerdekaan amat berkait dengan kebebasan dan misi pembebasan.

Dalam tradisi Islam seperti yang dibahaskan para ulama dalam perbicaraan berkaitan konsep hurriyyah, kemerdekaan merupakan lawan kepada perhambaan. Namun lebih daripada itu, rajulun hurrun (insan yang bebas menurut tafsiran ulama) bukan sekadar bermaksud bebas daripada cengkaman sebagai hamba abdi, bahkan bebas sering digandingkan dengan kalimah karim yang bermaksud kemuliaan.

Justeru al-hurr al-karim membawa konotasi bahawa seseorang itu bukan sekadar perlu merdeka daripada perhambaan, tetapi mestilah hidup mulia dengan penuh kehormatan seperti disimpulkan oleh Hashim Kamali sebagai "a true gentleman, a person who is pure in his human dignity, a person of integrity possesing a free conscience unrestrained by material considerations". Dalam erti yang setulusnya, kemerdekaan turut berkait rapat dengan maruah dan kehormatan, baik maruah insaniah sebagai individu mahupun maruah sebuah bangsa dan negara.

Pertahankan Hak Agar Tak Dirampas

"Give me liberty, or give death!" adalah ucapan masyhur pejuang kemerdekaan Amerika Syarikat, Patrick Henry yang menggambarkan betapa orang sanggup mati bagi menghirup udara kebebasan dan demi sebuah hidup bermaruah! Di Uruguay, slogan kemerdekaan dengan makna seerti - "Libertad o con gloria morir" - diabadikan dalam bait lagu kebangsaannya.

Dalam hubungan ini, pejuang kemerdekaan tanah tumpah darah kita sendiri membuktikan kesanggupan mempertahankan maruah negara, agama dan bangsa dengan nyawa. Namun dalam era pascakolonial, maruah bangsa seperti yang diamati oleh Syed Hussein Alatas bukan lagi dibelenggu dan diragut penjajah asing, tetapi dek pemimpin bangsa sendiri yang bermakar siang malam untuk menipu rakyat dan merompak khazanah negara.

Walhasil, rakyat yang berjiwa merdeka, bermaruah dan patriotik ialah rakyat yang melaksanakan amanah mempertahan hak-hak miliknya agar tidak dirampas oleh sesiapa pun, apatah lagi oleh pemimpinnya sendiri. Dalam kata lain, rakyat yang merelakan haknya dicabul, hasil mahsulnya dirompak, kebebasan hakikinya dibelenggu dan maruah negaranya diperlekeh di mata dunia sebenarnya menderita penyakit jiwa hamba dan gagal melaksanakan amanah mengisi kemerdekaan yang diwariskan generasi pendahulu.

Our website is protected by DMC Firewall!