Print this page

Minda Presiden

Published in Minda Presiden

Keputusan Mahkamah Persekutuan: Ruang Untuk Pengharmonian Antara Kanun Keseksaan Dan Enakmen Jenayah Syariah. Featured

Feb 27, 2021 Hit: 322 Written by 
Keputusan Mahkamah Persekutuan: Ruang Untuk Pengharmonian Antara Kanun Keseksaan Dan Enakmen Jenayah Syariah.

 

KEPUTUSAN MAHKAMAH PERSEKUTUAN: RUANG UNTUK PENGHARMONIAN ANTARA KANUN KESEKSAAN DAN ENAKMEN JENAYAH SYARIAH

Pelbagai tanggapan dihurai oleh beberapa pihak susulan dari keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra Bin Mubarak lwn Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini yang memutuskan bahawa Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan kesalahan dan hukuman terhadap persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Secara umum, jika kita membaca keseluruhan penghakiman kes berkenaan, kita boleh melihat dari sudut positif di mana ia membuka ruang untuk elemen Syariah diperkasakan menerusi sisi-sisi tertentu yang boleh dimanfaatkan.

Mahkamah Iktiraf Definisi Ajaran Islam Adalah Luas

Pertama, Mahkamah Persekutuan mengiktiraf bahawa tafsiran ajaran Islam atau “precepts of Islam” dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai satu yang luas yang tidak hanya meliputi perkara-perkara di dalam Rukun Islam. Dalam penghakiman dipertegaskan bahawa:

“As decided by this Court in Sulaiman Takrib (supra) and other related judgments, the definition of ‘precepts of Islam’ is wide and is not merely limited to the five pillars of Islam. Thus, the range of offences that may be enacted are wide.”

Justeru, atas tafsiran meluas definisi “precepts of Islam” ini, Mahkamah Persekutuan mengakui bahawa kesalahan di bawah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 juga adalah dalam kategori menyalahi ajaran Islam seperti yang dinyatakan:

“It is not in dispute in this case that liwat which is one of the offences contemplated by section 28 of the 1995 Enactment and with which the petitioner is charged, is against the precepts of Islam.”

 

Pertikaian Keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Atas Faktor Bidang Kuasa

Namun, Mahkamah Persekutuan mempertikai keabsahan Seksyen 28 tersebut hanya atas faktor pertindihan bidang kuasa antara Negeri dan Persekutuan sepertimana yang telah digariskan dengan jelas dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Butiran 1 Senarai Negeri (Jadual Kesembilan) Perlembagaan Persekutuan telah ditetapkan:

“Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkhawinan, perceraian, mas kahwin, nafkah…..pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan;… Mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan;”

 

Panduan Jelas Pembahagian Bidang Kuasa Syariah dan Sivil Dalam Aspek Jenayah

Mahkamah Persekutuan turut memetik kes Sulaiman bin Takrib v Kerajaan Negeri Terengganu (Kerajaan Malaysia, intervener) and other applications [2009] 6 MLJ 354 di mana dalam sesuatu kesalahan jenayah yang jelas dalam kategori menyalahi the ‘precept of Islam’, YAA Tun Abdul Hamid Mohamad menjelaskan perlu ada empat keterbatasan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-undang berkaitan bidang kuasa Syariah iaitu salah satunya tidak menyentuh bidang kuasa Persekutuan seperti yang dinyatakan:

“Creation and punishment of offence have further limits: (a) it is confined to persons professing the religion of Islam; (b) it is against the precept of Islam; (c) it is not with regard to matters included in the Federal List; and (d) it is within the limit provided by s 2 of the SC (CJ) Act 1965.”

Dalam kes ini, Mahkamah menegaskan bahawa kesalahan jenayah adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan seperti termaktub dalam Butiran 4 Senarai Persekutuan (Jadual Kesembilan) Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan bahawa undang-undang jenayah termasuk dalam Senarai Persekutuan - “Undang-undang dan tatacara sivil dan jenayah dan pentadbiran keadilan”.

Dalam masa yang sama, penghakiman Mahkamah Persekutuan menerusi YAA Tan Sri Dato’ Sri Azahar Mohamed telah memberikan satu sempadan bidang kuasa yang jelas di antara kedua-dua Mahkamah ini di mana kesalahan jenayah yang boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah termasuklah; (a) kesalahan jenayah yang berkait dengan perkara aqidah seperti ajaran sesat, (b) kesucian Islam dan institusi Islam seperti mengajar tanpa Tauliah dan tidak menghormati kesucian Ramadhan serta (c) apa-apa kesalahan yang berkait dengan akhlak seperti minum minuman keras, zina dan khalwat.

Menerusi panduan ini, ia memberi petunjuk di masa hadapan dari sisi undang-undang dan Perlembagaan agar konflik yang berlaku tidak berulang. Walaubagaimana pun, situasi berbeza jika pada masa hadapan perkara-perkara yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan ini dipinda oleh badan Legislatif.

 

Faktor Sejarah & Sistem Yang Membawa Kepada Dikotomi Sedia Ada

Namun, dalam masa sama terdapat kekhuatiran sebilangan pihak yang mungkin mentafsirkan keputusan tersebut sebagai satu ‘floodgate’ menggugat keabsahan kesalahan lain yang terangkum dalam peruntukan Enakmen Jenayah Syariah yang diluluskan di peringkat negeri.  

Kekhuatiran ini ada justifikasinya berdasarkan hujah-hujah tertentu, namun kita harus melihat faktor-faktor yang membawa kepada pertembungan sedia ada sebelum menetaskan jalan penyelesaian.

Saya tertarik dengan buku tulisan Dr Syed Husin Ali “The Malays, Their Problems and Future” (2008) yang mengimbau kembali kepada sejarah kehadiran penjajah British yang telah membuat pengasingan kuasa antara perkara berkaitan agama Islam dan adat resam dengan perkara-perakara umum lain berhubung pentadbiran dan tanah, kewangan dan percukaian, Pendidikan dan undang-undang.

Dalam perjanjian-perjanjian antara British dan Raja-Raja Melayu, kuasa berkaitan Islam dan adat resam diberikan hak eksklusif kepada Sultan, manakala kuasa berkaitan hal ehwal lain seluruhnya diberikan kepada Residen British.

Ramai yang beranggapan bila mana pengasingan tersebut dilakukan seolah ia menambah baik hal ehwal Islam apabila bidang kuasanya secara eksklusif diberikan kepada Sultan akan tetapi fakta sejarah telah membuktikan tanggapan tersebut sebagai meleset.

Dr Syed Husin Ali memetik fakta bahawa pembahagian dikotomi sistem tersebut hakikatnya telah melemahkan serta memencilkan bidang kuasa berkaitan Islam tertutama jika dilihat dari sudut persaingan dengan hal ehwal pentadbiran lain yang disokong penuh oleh kerajaan.

Pentadbiran yang di luar bidang kuasa Islam diperkasa menurut model pentadbiran British dengan pengenalan pelbagai jabatan-jabatan yang menguruskan tanah, Pendidikan, dan undang-undang. Bukan itu sahaja, kakitangan jabatan-jabatan ini yang berperanan melicinkan susun atur sistem jauh lebih ramai dari mereka yang membantu menguruskan hal ehwal agama dan sumber kewangan mudah diperolehi menerusi hasil yang dikutip Residen British berbanding hal ehwal agama yang hanya bergantung kepada dana yang disumbang menerusi zakat.

Tidak kurang, persaingan juga dapat dilihat dari sudut sekolah apabila Pendidikan aliran Inggeris jauh lebih maju dengan pengenalan sistem Pendidikan British yang teratur, dengan kelengkapan tenaga pengajar terlatih dan fasiliti serba lengkap serta didukung oleh dana yang kukuh. Situasi ini berbeza dengan institusi Pendidikan agama Islam yang tidak dimasukkan dalam aliran arus perdana pentadbiran negeri.

Begitu juga dari sudut undang-undang, menerusi pengasingan bidang kuasa ini British telah membahagikan bidang kuasa undang-undang Islam yang diletakkan di bawah hak mutlak Sultan hanya kepada isu-isu berkaitan isu umat Islam yang sempit, berbeza dengan undang-undang yang mengawal bidang lain ia mencakupi semua perkara yang luas termasuk perkara berkaitan perbuatan jenayah.

Dr Syed Husin Ali menyimpulkan situasi hal ehwal Islam di masa lampau ini sebagai suatu yang hanya dari sudut teori dilihat sebagai teratur dan kukuh, tetapi secara praktikalnya adalah semakin lemah dan disempitkan.

Maka, tidak hairanlah mengapa mantan Presiden ABIM Prof Dato’ Dr Siddiq Fadzil sering menyinggung satu fakta bahawa permulaan kepada sekularism di Tanah Melayu secara rasmi adalah Perjanjian Pangkor bertarikh 20 Januari 1874 yang ditandatangani oleh British dan Sultan Perak, apabila Islam telah dipencilkan secara rasmi untuk tidak lagi berperanan luas dalam aspek pentadbiran, ekonomi, undang-undang dan masyarakat.

Penerusan Dikotomi Pengasingan Oleh British Yang Memencilkan Islam

Walau bagaimanapun, situasi pemencilan Islam dari rangka pentadbiran hal ehwal masyarakat ini diteruskan selepas merdeka. Penerusan ini bukan hanya meneruskan pemencilan Islam, tetapi seolah ditafsirkan sebagai merendahkan martabat bidang kuasa hal ehwal Islam apabila Persekutuan Malaysia terbentuk.

Walaupun negeri mempunyai autoriti khas untuk merangka Enakmen Syariah tertentu, namun atas semangat Federalisme, semua pihak bersetuju bahawa undang-undang negeri tidak boleh mengatasi undang-undang persekutuan.

Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan telah menjelaskan:

“Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu”

Selain itu, Perkara 77 turut menegaskan bahawa bidang kuasa negeri menerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang terhad kepada perkara yang tidak disentuh oleh Persekutuan menerusi Parlimen:

“Badan Perundangan sesuatu Negeri berkuasa membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang tidak disebut satu persatu dalam mana-mana Senarai yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan, iaitu yang bukan suatu perkara yang berkenaan dengannya Parlimen berkuasa membuat undang-undang.”

Keputusan terbaharu Mahkamah Persekutuan terbaharu ini telah menggaris bawahi pembahagian antara kedua-dua bidang kuasa ini dengan menegaskan bahawa Perkara 75 dan Perkara 77 memberi maksud bahawa bidang kuasa negeri untuk menggubal undang-undang bergantung kepada residual power (kuasa baki perundangan) yang diberikan oleh Parlimen.

Berbeza dengan kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja lwn Ketua Pengarah Penjara Malaysia & Satu Lagi [1999] 2 MLJ 241, yang di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan undang-undang antara Kanun Keseksaan dan Enakmen Jenayah Syariah Negeri boleh wujud secara bersama atau ‘co-exist’.

Seharusnya apabila terbentuk Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan, sistem pembahagian bidang kuasa ini harus disemak setidak-tidaknya agar bidang kuasa Islam dan Syariah, dapat diangkat sebagai sama taraf dengan Persekutuan dan bukan kekal terbatas hanya menjadi bidang kuasa negeri semata. Maka selagi tiada anjakan dari sistem sedia ada, keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini akan berulang dalam kes-kes mendatang atas tafsiran kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

Dakwaan Bidang Kuasa Mahkamah Syariah Tidak Cekap Dalam Isu Jenayah

Dalam masa sama, terdapat pihak-pihak yang menyokong keputusan Mahkamah tersebut untuk menguatkan hujah bahawa penguatkuasaan bidang kuasa Mahkamah Syariah tidak cekap berbanding bidang kuasa Mahkamah Sivil.

Saya tidak menafikan secara umum isu kecekapan ini. Namun kita harus adil untuk melihat faktor utama kepada kurang cekapan yang dinyatakan, iaitu berpunca dari kurangnya bidang kuasa yang diberikan kepada bidang kuasa Syariah.

Seperti yang dinyatakan dalam Senarai Persekutuan (Jadual Kesembilan) Perlembagaan Persekutuan seperti Butiran 3 (Keselamatan Dalam Negeri seperti Polis & Penjara), Butiran 4 (Undang-undang dan tatacara sivil dan jenayah dan pentadbiran keadilan), Butiran 6 (Jentera Kerajaan) serta Butiran 7 (Kewangan) sudah cukup untuk memberi justifikasi kecekapan bidang kuasa undang-undang Sivil berbanding Syariah.

Menerusi bidang kuasa yang luas ini dengan dukungan yang besar dari segenap sektor pentadbiran, sudah pasti ia menjadi pengaruh penting kepada kecekapan dan profesionalism perjalanan pentadbiran undang-undang sivil yang dapat dilihat terutamanya dari sudut menitikberatkan prinsip hak asasi manusia, penguatkuasaan prinsip keadilan, sistem pendakwaan dan tangkapan yang lebih baik oleh polis dan Jabatan Peguam Negara dan sebagainya.

Maka, bila kita bicara soal ketidakcekapan ini, tidak keterlaluan untuk saya nyatakan ia adalah pengulangan kepada peristiwa yang sama pada zaman penjajahan British sebelum ini, dan kita seolah tidak berganjak akibat dari penerusan bidang kuasa yang terhad ini.

Pengharmonian Antara Kanun Keseksaan [Akta 574] & Enakmen Jenayah Syariah

Palace of Justice Putrajaya Dec 2006 002

Maka, sebagai solusi kepada rangka sistem sedia ada yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, satu usaha awal pengharmonian antara undang-undang Persekutuan iaitu Kanun Keseksaan dan semangat serta tujuan yang wujud dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri harus dilakukan.

Saya optimistik dengan usaha ini kerana saya meyakini bahawa Enakmen Jenayah Syariah berkongsi tujuan dan maksud dengan Kanun Kesikaan di Malaysia secara umum. Selain mendukung prinsip untuk membuahkan keadilan dalam masyarakat serta membentuk masyarakat yang selamat dan sejahtera, kedua-dua peruntukan ini sedikit sebanyak mempunyai persamaan lain khususnya dalam aspek membendung isu salah laku moral serta melindungi keutuhan institusi kekeluargaan.

Mengambil contoh perlakuan sumbang mahram, yang dianggap sebagai kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah, ia turut dianggap kesalahan jenayah di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari sepuluh tahun dengan sebatan. Begitu juga perbuatan hubungan sejenis seperti liwat ia dikira satu jenayah berat di bawah Seksyen 377B dan 377C Kanun Keseksaan.

Selain itu Seksyen 498 Kanun Keseksaan telah memperuntukkan bahawa memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan tujuan untuk mengadakan hubungan seks adalah satu kesalahan jenayah. Seksyen 375 (f) memperuntukkan perbuatan zina dengan keizinan wanita di bawah umur 16 tahun adalah dianggap sebagai jenayah rogol.

Meneliti peruntukan-peruntukan ini, ia memberi gambaran kepada persamaan tertentu tujuan kewujudan undang-undang ini digubal dengan peruntukan yang terdapat dalam Enakmen Jenayah Syariah iaitu membendung salah laku moral dalam masyarakat serta melindungi kesucian institusi keluarga.

Perbuatan berkaitan zina sendiri dapat dilihat wujudnya peruntukan tertentu yang boleh mengheret pelaku kepada hukuman jenayah dalam situasi tertentu walaupun zina secara umum masih belum ditakrifkan sebagai jenayah, walau demikian ia dianggap sebagai perbuatan jelek oleh seluruh masyarakat beragama tanpa mengira mana-mana agama di Malaysia.

Dalam pada itu, Mahakamah Persekutuan dalam penghakimannya mengakui bahawa kesalahan liwat adalah terangkum dalam definisi menyalahi ajaran Islam namun tidak pula menghakiminya sebagai satu yang bercanggah dengan Perlembagaan.

“It is not in dispute in this case that liwat which is one of the offences contemplated by section 28 of the 1995 Enactment and with which the petitioner is charged, is against the precepts of Islam.”

“As stated earlier, there is no issue as regards the constitutionality of the provisions contained under the header ‘Unnatural Offences’ of the Penal Code. And we have no reason to doubt that the said Penal Code provisions which are substantively mirrored in section 28 of the 1995 Enactment, are within the purview of items 3 and 4 of the Federal List”

Ia adalah satu interpretasi di mana Kanun Keseksaan adalah sah di sisi undang-undang walaupun mempunyai elemen Syariah di dalamnya serta berkongsi tujuan dan maksud di sebalik kewujudan undang-undang tersebut.

Susulan itu, kita dapat melihat ada ruang baharu yang boleh dimanfaatkan menerusi penghakiman ini iaitu Parlimen Malaysia boleh secara tidak langsung meminda Kanun Keseksaan untuk menambah baik peruntukan sedia ada terutama bagi sebarang kesalahan yang ada unsur ‘against the precepts of Islam’ boleh dikuatkuasakan di peringkat persekutuan.

Tinggal lagi, selain menyalahi ajaran Islam, kesalahan-kesalahan tersebut harus bersifat meluas yang turut merangkumi kesalahan yang menyalahi norma kehidupan masyarakat secara inklusif supaya ia relevan untuk dikuatkuasakan.

Muhammad Faisal Abdul Aziz

Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Last modified on Saturday, 27 February 2021 06:02
Read 322 times
Rate this item
(0 votes)

Latest from editor-media

DMC Firewall is a Joomla Security extension!